Kalau ekonomi bertambah baik jadilah RM1,000 hingga RM2,000, kata Perkasa.
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu berhenti merungut dan bersyukur kerajaan Barisan Nasional (BN) masih memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) walaupun jumlahnya tidak sama seperti yang dijanjikan.
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, jumlah RM650 itu sudah mencukupi mengikut kemampuan kewangan negara.
“RM650 campur RM300 okay lah tu. Kalau ekonomi bertambah baik jadilah RM1,000 hingga RM2,000.
“Kira bersyukurlah, janji ada. Kalau bagi banyak-banyak tapi negara tak mampu nanti jadi isu pula,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Perkasa di sini hari ini.
BN semasa manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 April lalu berjanji untuk menaikkan kadar BR1M daripada RM500 sehingga RM1200.
Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2014 mengumumkan pemberian BR1M meningkat hanya RM150 sahaja menjadi RM650 bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 dan kebawah.
Manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan naik RM50, daripada RM250 kepada RM300.
GLC korup
Sementara itu, Ibrahim mengumumkan Perkasa menubuhkan satu Jawatankuasa Pemantau GLC bagi memantau mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ‘korup’.
Katanya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan GLC termasuk bukan Bumiputera boleh buat aduan kepada Perkasa dan mereka akan menyiasat dakwaan itu.
Beliau juga turut mendesak Perlembagaan dipinnda bagi membolehkan GLC termasuk Petronas diaudit oleh Ketua Audit Negara.
Katanya, ini memandangkan GLC menerima dana suntikan dan projek istimewa oleh kerajaan menggunakan duit rakyat, oleh itu mereka juga perlu diaudit secara telus.
“Walaupun GLC diaudit oleh akauntan bertauliah tapi maklum sajalah mereka (akauntan) juga syarikat yang berniaga.
“Ketua Audit Negara perlu buat inkuiri dan bentangkan hasil laporan di Parlimen mengenai syarikat GLC termasuk Petronas,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.