Jalan berlopak jadi perangkap  
Pemandu terpaksa berhati-hati setiap kali melalui Jalan Mada di Kampung Hutan Pulai kerana terdapat banyak lubang yang berbahayakan kepada pengguna jalan. 
HUTAN KAMPUNG - Pengguna Jalan Mada di sepanjang Kampung Hutan Pulai dekat sini, merayu kepada pihak bertanggungjawab supaya dapat membaiki jalan itu yang dikatakan semakin teruk.

Pengguna mendakwa terdapat banyak lubang di sepanjang jalan dan menimbulkan bahaya.

Penunggang motosikal, Samad Ismail, 47, berkata, keadaan Jalan Mada sepanjang tali air itu kini semakin rosak dan berlubang.

Katanya, keadaan bertambah serius apabila musim hujan.

“Pernah berlaku seorang penunggang motosikal terpaksa dibawa ke hospital selepas parah kerana terjatuh dalam lubang yang dipenuhi air.

“Beberapa hari kemudian berlaku lagi kejadian seumpama itu kerana paras air yang menutup lubang itu menjadi jerat kepada penunggang motosikal. Selain jalan yang berlubang, jalan itu juga kini dikatakan tidak sama rata kerana tanah di situ dikatakan semakin mendap,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Ismail Shafie, 62, berkata, keadaan jalan yang berlopak seolah-olah menjadi perangkap kepada pengguna di sepanjang Jalan Mada itu.

Katanya, pengguna jalan terpaksa berhati-hati terutamanya ketika berselisih kenderaan kerana bimbang kenderaan mereka akan terjatuh ke dalam tali air di Jalan Mada itu.

“Pernah terjadi seorang pemandu wanita jatuh bersama kenderaannya ke dalam tali air selepas cuba mengelak lubang yang terdapat di jalan itu,” katanya.

Penduduk berharap pihak berkaitan dapat membaiki jalan ini secepat mungkin kerana bimbang keselamatan pengguna jalan ini yang terdedah kepada kemalangan pada bila-bila masa.