Mohd Zaidi  
Kenyataan Mohd Zaidi di laman sosial Facebooknya. 

SHAH ALAM - Calon Ketua Umno Bahagian Serdang, Datuk Mohd Zaidi Md Zain menafikan dakwaan beliau menghentam Umno sebaliknya menyifatkan ahli Umno masih tidak berubah kerana memilih calon bertanding berdasarkan habuan diterima bukannya kepimpinan.

Mohd Zaidi ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan beliau tidak menyalahkan Umno dalam kenyataannya di laman sosial Facebook miliknya, sebaliknya kecewa dengan sikap ahli Umno yang memilih pemimpin kerana habuan.

“Saya bukan kata Umno salah, cuma sikap orang Umno tak mahu berubah pilih pemimpin berlandaskan tawaran duit dalam sampul,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam kenyataan Facebooknya beliau menyebut: "Nampaknya tawaran perubahan kepimpinan yang saya bawa dalam Umno Bahagian Serdang telah dikalahkan dengan tawaran duit dalam sampul oleh pihak lawan di saat akhir  sebelum persidangan bermula. Maaf jika saya simpulkan bahawa rasuah politik masih membelenggu kewarasan akal fikiran perwakilan Umno."

Beliau bagaimanapun, mengucapkan terima kasih kerana ramai yang memberi komen simpati, panas dan sinis terhadap kenyataan beliau, kelmarin.

“Cuma saya harap semua faham bahawa saya bukan kecewa dengan Umno bahkan akan terus berjuang melalui wadah Umno  untuk agama, bangsa dan tanah air tercinta.

“Saya menerima kekalahan dengan hati terbuka walaupun kecewa dengan isu yang saya sebutkan sebelum ini. Saya mendoakan kebaikan kepada seluruh ahli Umno Serdang dan tahniah kepada saf kepimpinan baru, teruskan agenda transformasi dan bersatu, bersetia dan berkhidmat,” katanya.