`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 21, 2013

Pemilihan Umno: Dua ‘heavyweight’ tumbang di NS

Lilah disebut-sebut di kalangan Umno akan dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru
SEREMBAN: Pemilihan Ketua Bahagian Umno di Negeri Sembilan mencipta kejutan apabila dua tokoh ‘heavyweight’ Umno tumbang pada pemilihan Ketua Bahagian Umno kali ini.
Penyandang Ketua Bahagian Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail, 62,  (kiri) yang memegang jawatan tersebut selama 25 tahun akhirnya kecundang di tangan Ketua Umno Cawangan Ampangan Barat, Abu Ubaidah Redza.
Ishak yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng mendapat 195 undi, manakala Abu Ubaidah yang kali pertama bertanding sebagai calon PIlihan Raya Umum yang lalu, merupakan ADUN Ampangan dan Exco Kerajaan Negeri menerima 243 undi.
Seorang lagi calon, Datuk Mohd Yusop Harmain Shah yang merupakan Setiausaha Kerja Umno Negeri Sembilan, memperolehi 15 undi sahaja.
Agak menarik bekas ADUN Ampangan, Datuk Zakaria Nordin kekal sebagai Timbalan Ketua Bahagian Umno Seremban dengan 207 undi mengalahkan bekas Ketua Pemuda Bahagian, Shahrul Ekhsan Osman (169 undi) dan Sidek Othman (71 undi).
Seorang lagi pemimpin ‘heavyweight’ yang turut kalah pada pemilihan Umno kali ini ialah penyandang Ketua Bahagian Umno Jempol, Datuk Lilah Yasin (kanan). Lilah merupakan ADUN Palong dan bekas Ahli Parlimen Jempol.
Ketua Bahagian Umno Jempol yang baru ialah Datuk Mohd Salim Shariff.
Sebelum Pilihanraya Umum  ke-13, Lilah disebut-sebut dikalangan Umno akan dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru seandainya Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang, Datuk Seri Mohamad Hasan dinaikkan menjadi menteri kabinet.
Walaubagaimanapun ramalan tersebut meleset apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menurunkan Mohamad di DUN Rantau pada PRU-13. Mohamad mempertahankan DUN Rantau untuk penggal ketiga dan terus dikekalkan sebagai Menteri Besar.
Timbalan Ketua Bahagian Umno Jempol pula dimenangi oleh ADUN Serting dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli yang mendapat 332 undi menewaskan Amran Sainan (163 undi).
Mudah
Mohamad kekal sebagai Ketua Bahagian Umno Rembau apabila mencapai kemenangan besar di Rembau apabila memperolehi 697 undi menewaskan pencabar beliau bekas ADUN Chembong, Datuk Mohamad Rais Zainuddin yang hanya mendapat 108 undi.
Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebelum ini telah pun menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian Umno Rembau.
Bekas Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor masih kekal sebagai Ketua Bahagian Umno Tampin apabila berjaya menewaskan pencabar beliau, bekas ADUN Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abdul Aziz.
Timbalan Ketua Bahagian Umno Tampin memperlihatkan muka baru apabila ADUN Gemencheh, Mohd Isam Mohd Isa berjaya menewaskan penyandang Datuk Nasarudin Mahamud dan seorang lagi calon Mohd Shafie Mohd Arifffa.
Pengerusi Felda dan Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terus berjaya mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Umno Telok Kemang yang beliau sandang sejak tahun 1982.
Mohd Isa mendapat 324 undi menewaskan Ramli Awang (59 undi) dan Mazman Mansor (9 undi).
Timbalan Ketua Bahagian Umno Telok Kemang pula dimenangi oleh ADUN Bagan Pinang dan Exco Kerajaan Negeri, Tun Hairuddin Abu Bakar menewaskan Mohd Faizal Ramli.
ADUN Labu dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Rusdi juga berjaya mengekalkan kedudukan beliau sebagai Ketua Bahagian Umno Rasah mengalahkan dua pencabar beliau Khaidir Jamal dan Ishak Abdullah.
Timbalan beliau Datuk Mohammed Najeeb Abdullah juga mengekalkan jawatan dengan menewaskan Abdul Aziz Abdullah dan Hanapi Daing Dalisang.
Saingan
Di Jelebu saingan agak menarik apabila ADUN Pertang, Datuk Jalaludin Alias berjaya menewaskan Ahli Parlimen Jelebu, Zainuddin Ismail untuk jawatan Ketua Bahagian Umno Jelebu.
Timbalan Ketua Bahagian Umno Jelebu pula dimenangi oleh Baharuddin Jali menewaskan ADUN Klawang, Datuk Yunus Rahmat dan Amran Samron.
Jalaludin dan Baharuddin kedua-duanya muka baru.
Adun Senaling dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Lasim berjaya mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Umno Kuala Pilah menewaskan ADUN Sri Menanti, Datuk Abdul samad Ibrahim.
Keputusan untuk Timbalan Ketua Bahagian Umno Kuala Pilah agak menarik apabila bekas ADUN Kuala Pilah, Adnan Abu Hassan berjaya mengalahkan ADUN Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail dan Kamarulzaman Kamdias.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.