Sunday, October 27, 2013
Pengawal tembak Pegawai Bank beli Kad Pengenalan palsu RM200
Pengawal keselamatan warga asing yang kini diburu selepas menembak mati seorang pegawai operasi AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya Rabu lalu dikatakan membeli kad pengenalan palsu dengan hanya ratusan ringgit sahaja.
Kad pengenalan itu dibeli dengan harga antara RM200 hingga RM600 sekali gus membolehkan suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan selama setahun dan bertugas di beberapa buah bank di sekitar Lembah Klang.
Malah suspek menggunakan kad pengenalan palsu tersebut untuk melakukan jenayah termasuk perbuatan kejam menembak mati Allahyarham Norazita Abu Talib, 37, dari jarak dekat menggunakan senjata pump gun, Rabu lalu.
Bagaimanapun menurut sumber, identiti sebenar suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza dan mengikut kad pengenalan itu berasal dari Tawau, Sabah belum diketahui.
"Sejauh mana pembabitan suspek yang disifatkan penjenayah berbahaya ini masih disiasat pihak polis. Cuma kita yakin dia mendapat kad pengenalan palsu yang dibeli hanya ratusan ringgit.
"Identiti sebenar suspek juga kita sedang siasat. Jika kad pengenalan palsu itu menggunakan nama Ardi Hamza, mungkin nama sebenarnya lain," kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia namun enggan mendedahkan butiran lanjut di mana suspek membeli kad pengenalan palsu itu.
Dalam kejadian pukul 6.18 petang Rabu lalu, Norazita maut ditembak di muka sejurus selepas membuka sebuah peti besi berisi wang dan suspek melarikan wang berjumlah RM450,000.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua pengawal keselamatan dan isteri suspek, kesemuanya warga Indonesia yang dipercayai bersubahat dengan penjenayah kejam itu semalam.
Sementara itu, carian Mingguan Malaysia di laman myeg.com.my mendapati pengguna kad pengenalan bernombor 770818-12-6721 menggunakan nama Ardi Hamza mempunyai tiga rekod kesalahan jalan raya sejak Mei 2005 sehingga Jun tahun lalu.
Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak mempunyai lesen memandu, menggunakan lesen memandu yang tamat tempoh dan tiada insurans kenderaan.
Semua kesalahan itu dikesan dilakukan di Petaling Jaya, Klang dan Subang Jaya menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran BKE 5506 ~ Utusan
.... Salah siapa???
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.