Di sebalik ramai pemimpin UMNO, setelah berjaya menggantung Muhyiddin Yassin daripada jawatan timbalan presidennya, turut mahukan bekas Timbalan Perdana Menteri itu meninggalkan UMNO, Zahid Hamidi seperti menunjukkan keinginan yang berbeza mengenainya.
Beliau bukan saja mahu Muhyiddin terus kekal bersama parti itu, malah mengingatkannya tentang pengakuan "totok UMNO" yang pernah dibuatnya sebelum ini.
Sesuai dengan itu, menurut Zahid, sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Muhyiddin, seharusnya berdasarkan kepentingan parti.
Muhyiddin akan mengadakan sidang akhbarnya, esok Khamis jam 11 pagi dan ia dipercayai turut berkaitan hala tuju politiknya berikutan penggantungan jawatannya baru-baru ini dan juga setelah Tun Mahathir mengambil keputusan meninggalkan UMNO untuk meneruskan tekanan terhadap Najib.
Mengapa Zahid lebih mahukan Muhyiddin terus kekal bersama UMNO berbanding turut sama meninggalkannya seperti yang telah dilakukan oleh Tun Mahathir?
Adakah beliau bimbang jika Muhyiddin turut sama meninggalkan UMNO, maka tiada lagi "goncangan" daripada dalam parti sendiri terhadap Najib?
Atau dalam erti kata lain, oleh kerana beliau tahu Muhyiddin sudah "berlaga angin" dengan Najib, biarlah Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu terus membuat "bising" di dalam parti, manakala "riuh rendah" di luar UMNO sekarang sudah pun diambil alih oleh Tun Mahathir?
Dalam hal ini, jika kita masih ingat reaksi awal Zahid berhubung tindakan Tun Mahathir meninggalkan UMNO, 29 Februari lalu tidak lain ialah keyakinannya bekas Perdana Menteri itu akan kembali apabila tiba waktunya nanti.
Zahid tentunya sedia maklum bahawa Tun Mahathir keluar UMNO kerana tidak setuju dengan Najib dan tidak mungkin menyertainya semula selagi Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang ada sekarang tidak disingkirkan.
Mengapa beliau yakin Tun Mahathir akan kembali? Adakah ia juga menggambarkan keyakinan Zahid bahawa era Najib akan berakhir tidak lama lagi?
Dengan melahirkan keyakinan Tun Mahathir akan kembali menyertai UMNO, kepada siapa pula harapan itu sebenarnya ditujukan?
Berdasarkan semua ini, apakah sudah ada "ehem ehem" dalam hati kecil Zahid dan kerana itu, di sebalik dilihat terus bersama Najib, beliau juga mengharapkan Muhyiddin dan Tun Mahathir berterusan mengasak Perdana Menteri dari dalam dan luar UMNO? (SH).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.