`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, October 24, 2020

Istana Negara Media Statement : No Declaration Of Emergency

 



Kuantan, 24 Oktober, 2020 – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka  Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah  Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan  menerima menghadap Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana  Abdul Aziz, Kuantan pada jam 5.00 petang semalam (23 Oktober, 2020). 

Sesi menghadap ini telah dimohon oleh YAB Perdana Menteri susulan daripada  Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah dipengerusikan oleh beliau di Putrajaya  pada pagi semalam. 

Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan  Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah  dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan  ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya. 

Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan  kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.  Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran  rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini. 

Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan  Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di  Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi  cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya  bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara  menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut. 

Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh  menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara  yang kita cintai bersama ini. 

Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif harian COVID-19 dan kewujudan  beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah  mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada rakyat untuk terus memainkan  peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi  COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat. 

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda  berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk  ancaman serta penularan COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan  diakhiri dengan segera. 

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja 

Istana Negara


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.