`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 15, 2020

Polis nafi pengurusan Genting Highlands ‘sorok’ pekerja positif Covid-19

 

Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya kira-kira 1,500 pekerja di Genting Highlands ditempatkan di sebuah hotel disahkan positif Covid-19. (Gambar Bloomberg)

BENTONG: Polis menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya kira-kira 1,500 pekerja di Genting Highlands ditempatkan di sebuah hotel di pusat peranginan itu selepas disahkan positif Covid-19.

Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan berkata, hasil saringan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati semua pekerja yang terlibat disahkan negatif Covid-19, namun ditempatkan di hotel itu bagi tujuan kuarantin selama 14 hari.

“Langkah itu (kuarantin) diambil oleh pihak Genting Highlands selepas merujuk jawatankuasa task-force Covid-19 Pahang bagi memudahkan usaha menjaga kebajikan kakitangan mereka dan kita berterima kasih atas inisiatif tersebut.

“Dakwaan bahawa Genting Highlands diletakkan dalam situasi ‘lockdown’ juga tidak benar dan orang ramai masih boleh berkunjung ke situ, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis daerah Bentong.

Abd Jalil menjelaskan, hanya tiga lokaliti di Bentong iaitu Ria Apartment, Amber Court Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula 10 hingga 23 Dis ini.

Katanya, kira-kira 2,363 penduduk di tiga lokaliti itu juga memberikan kerjasama dan mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang pelaksanaan PKPD selain aspek kebajikan mereka dipantau kerajaan negeri.

Dakwaan pengurusan Genting Highlands ‘menyembunyikan’ pekerja positif Covid-19 tular menerusi media sosial WhatsApp dan Twitter sejak semalam, kononnya bagi menghalang perkara itu diketahui orang ramai kerana tidak mahu menanggung kerugian.

Mengulas mengenai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA) di Kuantan kira-kira 180km, Abd Jalil berkata ia kini menempatkan 131 warga asing berisiko rendah daripada kluster Jalan Genting di Bentong.

Selain itu, Abd Jalil berkata sebanyak 94 pasukan pemantau ditempatkan di seluruh negeri ini melibatkan 1,525 anggota pasukan keselamatan bagi memantau pematuhan SOP di kawasan tumpuan awam khususnya pasar awam dan kilang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.