PETALING JAYA: Aktiviti pembalakan di beberapa kawasan di Kedah akan terus berjalan susulan kelulusan lesen yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keadaan itu dianggarkan akan mengambil tempoh sehingga 18 tahun lagi untuk dihabiskan.
Beliau berkata, kenyataan itu harus diterima, meskipun kerajaan yang ada pada hari ini tidak pernah memberi sebarang kelulusan pembalakan baharu.
“Lori-lori balak itu akan berjalan sampai ‘hari kiamat’. Sebabnya kelulusan penebangan balak yang dibuat pimpinan kerajaan negeri terdahulu dianggarkan memerlukan masa sehingga 18 tahun lagi untuk dihabiskan,” katanya.
Beliau berkata, semua kegiatan pembalakan yang berlaku di Kedah hari ini adalah berkait dengan kelulusan lama dan “pemandangan” lori balak di atas jalan itu akan ada “sepanjang hayat”.
Katanya, semua pihak perlu menerima aktiviti pembalakan yang berlaku itu kerana kegiatan yang dijalankan adalah sah, bagaimanapun kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan akan memantau serta menentukan kawasan yang boleh dibalak atau sebaliknya.
“Antara yang akan diselamatkan ialah kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpan kekal dan tadahan air. Kawasan-kawasan tersebut memang tidak boleh diusiklah,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.
Tambah beliau, pihaknya tidak menyokong sama sekali pembalakan secara semberono yang dilakukan oleh mana-mana pihak, malah kawasan mana yang perlu dilakukan aktiviti pembalakan akan ditentukan oleh Jabatan Perhutanan.
“Ada orang kata mereka pencinta alam sekitar. Oleh itu asal tebang balak saja, dia lawan semuanya. Dia tak tahu pokok itu apabila sampai umurnya, akan ‘terbalik’ lalu reput dalam hutan dan tidak membawa hasil kepada negeri.
“Jadi sebelum pokok itu ‘terbalik’, Jabatan Perhutanan akan tentukanlah kawasan yang boleh dibalak dan membawa hasil kepada kerajaan negeri,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.