ALOR SETAR: Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah jenis syabu dan heroin bernilai lebih RM80,000 dalam tiga serbuan di Kampung Kubang Badak, Ayer Hangat, Langkawi, semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Shariman Ashari, berkata dalam serbuan pertama pada 6 petang di tepi Jalan Datai di kampung itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun serta merampas 83.80g dadah disyaki syabu bernilai RM10,894.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang menaiki kereta jenis Nissan Sentra ditahan selepas polis mendapati kenderaan itu berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
“Susulan itu, satu lagi serbuan dilakukan ke atas sebuah premis di kampung sama yang disyaki dijadikan tempat kegiatan pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan.
Shariman berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan merampas dadah jenis heroin seberat 3.80g bernilai RM150.
Beliau berkata, susulan tangkapan pertama, polis menyerbu sebuah rumah di kampung itu dan menemui bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 532.20g dianggarkan bernilai RM69,186.
“Hasil tiga serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha LC dengan nilai keseluruhan sitaan ialah RM23,500,” katanya.
Shariman berkata, ketiga-tiga lelaki direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.