(Malaysia Post) – TOKOH wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin bersetuju dengan pandangan yang mengatakan tekanan atau kecaman dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ini adalah berbeza daripada Presiden Umno terdahulu.
Orang lama yang sudah 59 tahun dalam dunia kewartawaan itu berpendapat, Umno mempunyai acuannya yang tersendiri dan boleh dikira cukup terbuka dalam menegur dan mengkritik kepemimpinan.
Menurutnya, boleh dikatakan semua Presiden Umno, bermula dengan Almarhum Datuk Onn Jaafar menghadapi kritikan dan penentangan terhadap dasar serta kepimpinan mereka.
“Ahmad Zahid tidak boleh disamakan dengan bekas-bekas Presiden Umno sebelum beliau. Kecuali Onn yang menjadi Presiden pada zaman penjajahan, semua Presiden Umno yang lain berpeluang menjadi Perdana Menteri.
“Ahmad Zahid tidak menjadi Perdana Menteri kerana dia dipilih menjadi Presiden Umno setelah Umno kalah pilihan raya umum 2018. Dia mewarisi Umno yang dirosakkan oleh Mohd Najib Abdul Razak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berpendapat, malang bertimpa bagi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kerana dia bukan saja memimpin Umno yang tewas, tetapi dia sendiri menghadapi kemungkinan mengikuti jejak ‘gurunya’ Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk penjara.
“Bezanya Anwar sudah keluar penjara dan mendapat pengampunan Diraja sedangkan Ahmad Zahid masih dibicara. Beban yang ditanggungnya itu mempengaruhi keupayaannya memimpin Umno,” katanya.
Sementara itu, menurutnya dalam konteks perebutan kuasa antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Anwar sekarang, Ahmad Zahid dilihat tersepit di tengah-tengah ‘jajaran baru’ yang dipilih oleh Umno dengan kepentingan peribadi dan keluarga.
Katanya, Anwar hanya boleh menolong Ahmad Zahid jika dia menjadi Perdana Menteri, manakala Muhyiddin boleh menolong Ahmad Zahid sekarang juga kerana dia Perdana Menteri.
“Kita tidak tahu kunci atau mantera apa yang Muhyiddin dan Hamzah (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin) ada untuk terus menambat Ahmad Zahid.
“Jadi macam Muhyiddin juga, Ahmad Zahid rasanya tidak peduli sangat atau tidak peduli lagi dengan sumpah seranah orang ramai. Yang lebih dipedulikan adalah penjara yang menanti dan kebebasan yang dijanjikan,” katanya.
Beliau berpendapat Ahmad Zahid mempunyai cukup undi untuk menjatuhkan Muhyiddin atau menaikkan Anwar tetapi kerana sebab-sebab tertentu dia tidak boleh atau tidak berani ‘menyepak bola masuk gol’.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.