PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan kerajaan tidak menetap atau mengawal harga minyak masak dalam botol.
Unit Komunikasi Korporatnya menerusi kenyataan berkata, kerajaan hanya menetapkan harga minyak masak bersubsidi yang dijual dalam pek polibeg 1kg dengan harga RM2.50.
“Kerajaan tidak tetapkan atau kawal harga minyak masak dalam botol kerana ia bukan minyak masak bersubsidi.
“Harga minyak sawit mentah pada masa ini sudah mencecah lebih RM4300/metrik tan (berbanding sebelum ini hanya sekitarRM2500/metrik tan sahaja), bersamaan lebih kurang RM4.30/kg sebelum diproses dan dibotolkan.
“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja untuk sebelum dibotolkan sudah melebihi RM21 untuk 5kg. Itu tidak termasuk kos-kos lain dan keuntungan di peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kualiti minyak sawit bersubsidi kerajaan dalam polibeg 1kg adalah sama dengan minyak sawit dalam botol.
“Sejak dulu lagi kerajaan peruntukan berjuta ringgit untuk minyak masak bersubsidi. Untuk 2021 sekitar 60,000 tan metrik setiap bulan diperuntukkan bagi kegunaan rakyat Malaysia. Itu bersamaan dengan 60 juta polibeg 1kg sebulan atau 1.8kg minyak sawit untuk setiap rakyat Malaysia setiap bulan,” katanya.
Terdahulu kumpulan pengguna mendesak kerajaan segera campur tangan dalam isu kenaikan mendadak harga minyak masak sehingga lebih RM30 bagi 5kg.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata,KPDNHEP perlu membuka mata serta melihat sendiri “keperitan sebenar” yang dihadapi pengguna ketika ini. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.