`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, July 28, 2021

Henti siasat doktor mogok, gesa Ahli Parlimen pembangkang

 

Saifuddin Nasution Ismail mendesak supaya tindakan menyoal kumpulan doktor berkenaan dihentikan.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang terus mempersoalkan tindakan polis menyiasat kumpulan doktor kontrak yang menyertai hartal di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS pada Isnin setelah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberi jaminan semalam bahawa mereka tidak akan dikenakan tindakan disiplin.

Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) berkata, tindakan itu dikhuatiri akan merosakkan lagi semangat dan moral doktor-doktor yang sudah pun tertekan dari segi mental dan fizikal.

Beliau mendesak Adham dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memberi penjelasan tuntas mengenai perkara berkenaan.

“Ketika Menteri Kesihatan sebut bahawa mereka diberi jaminan tidak ada tindakan, kita semua dengar ini, tetapi sebaliknya tengah malam tadi, (doktor-doktor) disoal selama 4 jam di pusat kuarantin tanpa ditemani peguam.

“Saya fikir ini harus dihentikan, jangan rosakkan lagi semangat dan moral pasukan doktor ini, cukuplah,” katanya semasa sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Adham memberi jaminan kumpulan doktor kontrak yang menyertai mogok di seluruh negara tidak akan dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, doktor-doktor kontrak terbabit berhak menyuarakan pandangan masing-masing sambil memaklumkan, pihaknya menghormati kumpulan berkenaan.

Terdahulu, peguam Asheeq Ali yang mewakili kumpulan itu dilaporkan berkata, doktor, jururawat dan petugas perubatan lain di PKRC MAEPS disoal siasat polis.

Ini susulan tindakan Gerakan Hartal Doktor Kontrak mengadakan mogok secara serentak di kira-kira 20 hospital di seluruh negara pada Isnin.

Hari ini, Saifuddin mendesak supaya tindakan menyoal kumpulan doktor berkenaan dihentikan agar krisis sistem kesihatan yang sudah pun di ambang keruntuhan tidak memburuk.

“Hentikan layan mereka seperti penjenayah, jangan tambah lagi tekanan kepada mereka,” katanya, sambil mendesak Hamzah agar segera berhubung dengan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Perkara itu turut dipersetujui Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) yang menuntut Hamzah memohon maaf kepada kumpulan doktor berkenaan.

“Menteri KDN, anda harus minta maaf segera,” katanya mencelah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.