PETALING JAYA: Beratus orang menjalani kuarantin di beberapa hotel terkemuka di sekitar Lembah Klang yang dijadikan sebagai pusat kuarantin berisiko rendah untuk pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2.
Kes dilaporkan melebihi 13,000 ini dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan ia mungkin meningkat lebih tinggi dalam tempoh dua minggu lagi akibat peningkatan saringan.
Bercakap kepada FMT, dua hotel yang terbabit sebagai pusat kuarantin pesakit Covid-19 berkata kadangkala semua bilik yang dikhaskan untuk tujuan itu, sudah habis ditempah.
Salah sebuah hotel, Royale Chulan Kuala Lumpur, berkata pihaknya memulakan pakej kuarantin dengan kerjasama Zahran Mega Klinik untuk pesakit Kategori 1 dan 2 bagi pesakit dari syarikat dan keluarga sejak 12 Jun lalu.
Kakitangan pengurusannya, Adlin Hani, berkata secara keseluruhannya terdapat 440 bilik yang dilengkapi dengan dua katil. Kadangkala, ia boleh memuatkan seramai 800 orang pada satu masa.
Katanya, pesakit tempatan dan expatriat serta warga asing diasingkan mengikut tingkat bilik berkenaan dan biasanya warga asing dihantar ke hotel oleh majikan mereka, katanya.
“Setiap hari, kita menyediakan makanan sebanyak tiga kali sehari dan seorang doktor akan melihat pesakit dua kali sehari. Doktor berada di situ setiap masa untuk menangani apa saja isu,” katanya.
Kadangkala, dua orang pesakit yang ditempatkan di bilik sama tidak mengenali satu sama lain tetapi pada kebiasaannya, mereka adalah dari syarikat atau ahli keluarga sendiri.
“Pernah sekali sebuah syarikat menghantar 600 pekerjanya untuk menjalani kuarantin pada satu masa.
“Kakitangan yang menjaga pelanggan dalam zon kuarantin tidak bercampur dengan kakitangan lain sebagai langkah berjaga-jaga. Mereka juga menggunakan laluan berbeza dalam bangunan ini,” katanya.
Mereka mengenakan bayaran sebanyak RM250 untuk satu katil semalaman dan sebuah bilik persendirian pula dikenakan bayaran RM350.
Sementara itu, hotel Saujana di Subang pula memaklumkan kebanyakan daripada 220 bilik penginapan di tiga blok yang dikhaskan untuk pesakit berisiko rendah, sudah penuh ditempah.
Kebiasannya juga, setiap bilik di hotel itu memuatkan lebih seorang pesakit.
“Kadangkala terdapat dua hingga tiga orang. Mereka biasanya dari syarikat sama atau ahli keluarga sendiri yang menjalani kuarantin bersama,” kata seorang jurucakap kepada FMT.
Hotel itu sentiasa menyediakan sebuah blok untuk pesakit Covid-19, tetapi sejak kes meningkat pada Jun, mereka menambah dua lagi blok untuk tujuan sama.
Mereka juga menetapkan kadar harga lebih rendah berbanding sebelum ini.
“Sebelum ini harga adalah sekitar RM400 hingga RM500 untuk satu bilik semalam tetapi ini sekitar RM200. Pilihan paling murah adalah berharga RM180 semalam,” katanya.
Sementara itu, ketua eksekutif Persatuan Hotel Malaysia Yap Lip Seng berkata terdapat beberapa hotel menawarkan perkhidmatan itu melakukan koordinasi secara terus dengan Kementerian Kesihatan.
“Kita membuat cadangan itu sebelum ini dan ia adalah idea yang boleh dilakukan bagi mengurangkan beban penjagaan kesihatan awam.
“Hotel mempunyai kemudahan sedia ada, bersama prosedur operasi standard (SOP) ketat dan perkhidmatan sokongan. Mereka boleh mendapat manfaat daripada program ini, sama ada ia dibiayai oleh kerajaan atau opsyen berbayar untuk pesakit Covid-19,” katanya.
Tambahnya, ia juga sesuai untuk keluarga atau pasangan berkahwin untuk menjalani kuarantin bersama.
Menjelaskan SOP dengan lebih lanjut, Yap berkata berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini, hotel perlu dipantau oleh kakitangan penjagaan kesihatan selain menyediakan perkhidmatan asas dan memenuhi keperluan sanitasi.
“Bilik juga perlu mempunyai tingkap dan dilengkapi dengan hiburan dalam bilik (televisyen) serta kemudahan WiFi.
“Setakat ini, ia hanya permintaan Kementerian Kesihatan. Tidak ada permohonan terbuka. Pihak hotel memanfaatkan program ini secara bersama,” katanya.
Malam tadi, seorang ahli Parlimen menggesa supaya lebih banyak hotel di Lembah Klang diubah menjadi pusat kuarantin untuk menempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah.
Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata ia akan mengurangkan kesesakan di pusat kuarantin yang sukar menangani peningkatan mendadak kes baharu dalam tempoh beberapa minggu lalu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.