`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 19, 2021

Anak maut disambar petir, bapa hilang ketika memancing

 

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai disambar petir ketika memancing bersama anaknya masuk hari kedua, hari ini. (Gambar APMM)

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut, manakala bapanya masih hilang dipercayai disambar petir ketika memancing ikan di perairan Pulau Dinawan, Kinarut, semalam.

Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Rosli Abdullah, berkata mangsa Abdullah Mohd Nasir, 20, ditemui nelayan tempatan berhampiran lokasi kejadian manakala bapanya, Mohd Nasir Abd Nasir, 62, sehingga kini belum ditemui.

Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Papar selepas ditemui, bagaimanapun disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira 7 malam.

“Mangsa dilaporkan keluar ke laut bersama anaknya dengan menaiki bot pam berasingan untuk menangkap ikan di pesisir pantai sekitar 5.30 pagi semalam dan dilaporkan hilang selepas tidak pulang pada sebelah petang.

“Kedua-dua mereka disyaki disambar petir ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada 4 petang,” katanya ketika dihubungi.

Rosli berkata, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada 8 malam semalam, susulan menerima maklumat kejadian itu pada 6.45 petang hari sama.

“Setakat ini, usaha mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa diteruskan dengan koordinasi APMM membabitkan atur gerak Bot Pengawal 39 serta dibantu beberapa aset daripada agensi sahabat yang lain seperti polis, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi telah masuk hari kedua dengan keluasan pencarian 50 batu nautika persegi dan setakat ini masih belum menemui tanda atau petunjuk positif berkaitan mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru kepada komuniti maritim untuk terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut.

“Ini termasuk peka dengan keadaan cuaca semasa, memakai jaket keselamatan, pastikan keadaan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta maklumkan kepada ahli keluarga atau sahabat yang lain lokasi dan tujuan kita di laut,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.