Kesimpulannya Muhyiddin Yassin tidak yakin boleh buktikan sokongan majoriti di Parlimen. Itu kesimpulan dibuat ramai termasuk saya bahawa Muhyiddin bimbang tidak akan melepasi apa-apa ujian atau pengundian di Parlimen.
Ertinya, ramai percaya penangguhan sidang Parlimen hari ini ialah mengenai politik, bukan Covid-19, walaupun diakui pandemik masih terus mengancam negara. Jika jumlah kes dijadikan kayu pengukur banyak lagi tempat yang wajib ditutup.
Maka bertanya wartawan veteran A Kadir Jasin di Facebook: “Takut Covid atau pembangkang?” Lalu beliau menyambung, “Tak perlu cerita panjang. Memang sudah dijangkakan Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin akan buat angkara seperti itu.”
Kadir lazim menggunakan nama asal Perdana Menteri (seperti yang dicatat pada sijil kelahiran) setiap kali merujuk kepada beliau.
Berkata pula bekas Perdana Menteri Najib Razak: “Agak susah bagi sesiapa yang waras untuk percaya bahawa sidang Parlimen esok (Isnin 2 Ogos) perlu ditangguh ke satu tarikh yang belum diumum sebab Covid.”
Najib menampilkan insiden 12 Julai lalu di PPV Ideal Convention Centre Shah Alam untuk dibandingkan dengan apa yang berlaku di Parlimen Khamis lalu (29 Julai).
Di PPV itu, kata Najib, 204 petugas disahkan positif Covid-19 dan ia ditutup satu hari. Pusat Pemberian Vaksin itu dibuka semula pada 14 Julai. Manakala di Parlimen, 11 individu dikesan positif daripada 1,183 saringan pada Khamis lalu.
“Mengikut contoh PPV Shah Alam, Parlimen sepatutnya sudah selamat dibuka semula Sabtu. Jadi kenapa sesi pada hari Isnin dibatalkan juga?” tanya beliau.
Bukan Najib seorang yang berpandangan demikian. Boo Su–Lyun, ketua pengarang laman kesihatan CodeBlue, berkata “amat menjijikkan krisis kesihatan awam digunakan untuk kesesuaian politik.”
Lewat petang semalam, keluar pula kenyataan Kementerian Kesihatan menyarankan semua mesyuarat dan persidangan Parlimen digantung dua minggu kerana risiko Covid-19, namun ia tidak meleraikan kesangsian dan prasangka terhadap kerajaan.
Hakikatnya, sidang khas Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung hari ini, setelah ditangguh tiga kali Khamis lalu, ditangguh terus di sebalik pelbagai perkembangan yang tidak perlu saya huraikan kerana sudah diketahui umum.
Cuma perlu ditegaskan ketidaktentuan di Parlimen pada Khamis lalu tercetus berikutan kenyataan Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa “amat dukacita” mengenai cara kerajaan Perikatan Nasional menguruskan pembatalan ordinan darurat.
Agong bertitah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen Dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan sudah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada Isnin 26 Julai, iaitu ordinan berkenaan yang berkuatkuasa sehingga hari ini 1 Ogos sudah dibatalkan kerajaan 21 Julai lalu.
Langkah kerajaan belum mendapat perkenan Agong semasa Takiyuddin mengumumkannya.
Baginda turut menekankan bahawa sebelum sidang khas Parlimen bermula, Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun bersetuju ordinan darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen. Jelas ini tidak dilakukan.
Sebelum kenyataan Istana Negara itu dikeluarkan, Takiyuddin yang diasak pembangkang yang mahukan butiran lanjut “berjanji” akan menghuraikan isu pembatalan ordinan darurat di Parlimen hari ini. Namun dengan adanya kenyataan Istana itu, Takiyuddin kelihatan “mati langkah”. Oleh itu dipercayai penangguhan sidang hari ini ada kaitan dengan pendedahan yang dibuat kenyataan Istana Negara berkenaan.
Oleh kerana kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin dilihat melakukan pembohongan terhadap Agong dan Takyuddin bercakap mewakil kerajaan, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Pun begitu, pemerhati dan penganalis politik tidak menjangkakan Speaker Azhar Harun mengizinkan usul itu dibentangkan.
Tetapi langkah menangguh sidang hari ini juga bermakna ordinan darurat tidak akan dibentang, dibahas serta diundi di Parlimen seperti yang dititah Agong. Sebelum ini, iaitu ketika kenyataan Istana Negara dikeluarkan, beberapa pihak termasuk Menteri Besar Pahang dan Perak menasihati Muhyididn memohon keampunan Agong.
Muhyiddin bukan sahaja tidak memohon ampun (sehingga artikel ini ditulis) malah memilih untuk mengeluarkan kenyataan balas melalui pejabatnya untuk memberitahu atau “mengingatkan” bahawa Agong sudah dimaklumkan terlebih dahulu akan tindakan kerajaan membatalkan ordinan darurat. Ini boleh dilihat sebagai menidakkan kenyataan Istana Negara.
Berikutan kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu, dilaporkan Agong mengutus surat kepada Perdana Menteri dan memperinci sorotan apa yang “sebenarnya” berlaku.
Tidak ada respon yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri setakat ini. Yang ada ialah kenyataan mengumumkan penangguhan sidang khas Parlimen hari ini.
(Sebelum itu Perdana Menteri ada merakam ucapan Selamat Hari Keputeraan Agong pada 30 Julai menerusi akaun Facebook dan Twitter rasmi).
Pada artikel Jumaat lalu, saya beranggapan tindakan Muhyiddin mengeluarkan kenyataan menerusi pejabatnya bagi menjawab kenyataan Istana Negara memburukkan keadaan yang sememangnya sudah buruk.
Kali ini, bagi saya, langkah Perdana Menteri menangguh sidang Parlimen menyulitkan lagi hubungan kerajaan, khususnya beliau sendiri, dengan Istana kerana Agong mahu ordinan darurat dibawa untuk pembentangan dan dirungkaikan selaras prinsip kedaulatan undang-undang.
Agong sendiri bersama Raja-Raja Melayu mahu Parlimen bersidang “secepat mungkin”. Desakan diRaja itu, pada saya, menepati sentimen umum, bahawa kerajaan tidak boleh meminggirkan sistem semak dan imbang yang menjadi asas demokrasi negara.
Seperti yang pernah saya tulis, Muhyiddin tidak tunjuk beliau mahu melepaskan jawatan walaupun desakan undur semakin kuat. Ertinya pembangkang dan lain pihak yang mahu perkara itu terjadi atau berhasrat mengambil alih jawatan, sila ambil perhatian.
Begitu juga pihak pro-PN yang mahu Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijadikan Perdana Menteri “interim”. Sila “dream on”. Muhyiddin tidak mahu memberi laluan. Dengan langkah yang telah diambil, hakikatnya beliau masih “selamat”. Penangguhan sidang hari ini sekadar membeli masa untuk memperkukuh kedudukan. Untuk memastikan sokongan majoriti. Bagaimana? Tentu kita masing-masing ada pendapat tersendiri.
Teringat saya kata-kata peninju “heavyweight” handalan AS pada 1940-an, Joe Louis. Sebelum perlawanannya dengan Billy Conn, juara light heavyweight, Louis mengeluarkan kata-kata yang bermaksud – “kamu boleh cuba lari melepaskan diri daripada apa yang kamu amat takuti tetapi akhirnya kamu mesti menghadapinya jua.”
Itu maksudnya apabila Louis berkata “you can run but you can’t hide.” - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.