KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana memfailkan saman ke atas lima individu termasuk dua rakan seperjuangannya iaitu Lan Solo dan Syura atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial Instagram.
Siti Nordiana, 37, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lepas di Mahkamah Sesyen di sini dan menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis bebas Razidah Ahmad Senusi, 42, sebagai defendan.
Pernyataan tuntutan Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai lepas kira-kira 11.58 malam, melalui siaran langsung yang dikendalikan oleh Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.
Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.
“Siaran langsung berdurasi lebih kurang satu jam 28 minit itu telah ditonton oleh para pengikut defendan-defendan dan orang ramai yang mengikutinya,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.
Juara Gegar Vaganza musim kedua itu mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.
Siti Nordiana mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun YouTube dijangka bertambah dan reputasi beliau telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.
Plaintif mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu, beliau melalui peguamnya menyerahkan Notis Tuntutan bertarikh 26 Julai lepas melalui serahan tangan dan e-mel kepada kesemua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000 namun mereka gagal berbuat demikian.
Sehubungan itu, Siti Nordiana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.
Beliau turut menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Peguam Abang Azlan Abang Ariffin, yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi Bernama, berkata tuntutan saman itu telah diserahkan secara Akuan Terima dan e-mel kepada kelima-lima defendan hari ini.
“Mahkamah telah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 9 Ogos ini secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.