`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 14, 2021

Imam Masjid Negara meninggal dunia akibat komplikasi jantung

 

Masjid Negara dalam catatan di Facebook berkata pemergian Ustaz Khisamudin Ismail adalah satu kehilangan seorang imam dan guru yang penuh dedikasi terhadap tugasnya.

PETALING JAYA: Imam Masjid Negara, Ustaz Khisamudin Ismail, 53, meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi di rumahnya dekat Kota Puteri, Batu Arang, Selangor akibat komplikasi jantung.

Berita dukacita itu dilaporkan di Facebook Masjid Negara Malaysia pagi tadi.

“Dukacita dimaklumkan bahawa pegawai kami Ustaz Khisamudin Ismail telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 4 pagi di rumahnya di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor ( komplikasi jantung).

“Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan solehin,” menurut catatan itu.

Masjid Negara berkata pemergian Imam Masjid negara itu adalah satu kehilangan seorang imam dan guru yang penuh dedikasi terhadap tugasnya.

“Didoakan agar isteri, anak-anak dan ahli keluarga bersabar menghadapi ujian ini.”

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad al-Bakri turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Zulkifli berkata, sebelum ini beliau ada menyuarakan hasratnya untuk menziarahi Khisamudin, namun tidak kesampaian.

“Saya ada memaklumkan kepada beliau untuk menziarahinya bila ada masa yang sesuai. Namun, perancangan Allah SWT sudah pasti ada hikmahnya. Takziah diucapkan kepada keluarga Ustaz Khisamudin Ismail, Imam Masjid Negara,” katanya dalam catatan di Facebook. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.