`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, August 1, 2021

Kes Covid-19 naik mendadak di Perlis disebabkan rentas negeri, kata MB

 

Azlan Man berkata pematuhan rakyat Perlis terhadap SOP masih tinggi tetapi kes meningkat disebabkan kegiatan rentas negeri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kenaikan mendadak kes baharu Covid-19 di Perlis dipercayai berpunca daripada kegiatan rentas negeri,’ kata Menteri Besar Perlis Azlan Man.

Beliau berkata, peningkatan kes Covid-19 itu dipercayai berpunca daripada individu yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang melakukan rentas negeri dari luar Perlis.

“Punca peningkatan disebabkan individu terbabit mempunyai kontak rapat dengan mereka yang merentas negeri dari luar Perlis. Semua kes ini (Covid-19) kerana sama ada individu berkenaan tinggal di Perlis dan bekerja di luar Perlis seperti di Kedah dan Pulau Pinang.

“Ataupun mereka yang tinggal di luar Perlis seperti Kedah tetapi memasuki negeri ini kerana urusan tertentu yang dibenarkan polis. Perentas negeri ini kemudian menjangkiti masyarakat tempatan (Perlis) seperti ahli keluarga,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mengulas peningkatan kes yang berlaku di Kuala Perlis, Azlan berkata, ia juga disebabkan perentas negeri datang ke kawasan itu dan akhirnya menjangkiti masyarakat di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azlan berkata, bukan semua kes penularan jangkitan Covid-19 di negeri itu berlaku di Kuala Perlis kerana terdapat daerah dan kawasan lain dikesan kes positif Covid-19.

Azlan berkata, dakwaan bahawa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat Perlis semakin menurun adalah tidak tepat sebaliknya pematuhan rakyat Perlis terhadap SOP masih tinggi tetapi kes meningkat disebabkan kegiatan rentas negeri.

Azlan berkata, kenaikan mendadak kes penularan jangkitan pandemik Covid-19 di Perlis terutama di kawasan Kuala Perlis tidak menjejaskan kedudukan negeri itu dalam menuju ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, Perlis sudah pun memenuhi tiga indikator nilai ambang iaitu kes harian Covid-19 di bawah 4,000, peningkatan kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan liputan vaksinasi dua dos merangkumi 10 peratus daripada populasi sesebuah negeri.

“Setakat ini apa yang berlaku itu tidak menjejaskan kita menuju ke fasa ketiga PPN. Jika dinilai semula, peratusan nilai ambang untuk vaksinasi lengkap dua dos di negeri ini bagi individu dewasa adalah 40.1 peratus dan kita jangka ia akan meningkat lagi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, tiada cadangan meletakkan Kuala Perlis di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) seperti dilakukan di negeri lain.

“Tiada sebab untuk kita ke arah itu (PKPD) kerana masih lagi di bawah nilai ambang. Laporan setakat ini juga tidak menunjukkan peningkatan kes disebabkan mereka yang lolos dari Bukit Malut, Langkawi.

“Namun, untuk elakkan perkara itu maka pihak berkuasa seperti polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang membuat pemantauan supaya mereka yang lari dari Bukit Malut tidak ke Kuala Perlis,” katanya.

Azlan berkata, kerajaan negeri sedang memperhalusi langkah tertentu untuk disyorkan kepada pihak berkuasa di peringkat persekutuan dalam menangani peningkatan kes Covid-19 yang berlaku di Perlis.

Perlis mencatatkan kes penularan jangkitan Covid-19 sebanyak 725 kes di mana 21 kes harian direkodkan semalam dan 11 daripadanya berlaku di Pusat Koreksional Perlis selain Kuala Perlis. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.