`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 13, 2021

Kisah ‘meeting’ di sana, di sini

 

Kelmarin, Rabu 11 Ogos, Malaysia mencatat 20,780 kes baharu Covid-19.

Singapura mencatat 61 kes baharu semalam.

Juga, negara kita melaporkan 211 kematian akibat Covid-19. Bilangan kematian di Singapura, 43 yang dilaporkan daripada 15 Feb tahun lalu hingga 11 Ogos tahun ini. Keseluruhan sehingga kini 43.

Kita ada cara kita menangani Covid-19. Mereka ada cara mereka. Artikel ini bukan untuk menyataan cara siapa lebih baik atau cara siapa lebih berkesan.

Cuma saya ingin papar petikan penulisan Surekha A Yadav, warga Singapura yang menulis kolum buat Malay Mail. Menerusi artikelnya lima hari lalu, Surekha memberitahu pegawai penguatkuasa penjarakan sosial Singapura (Social Distancing Enforcement Officers) mempunyai kuasa memasuki kediaman persendirian tanpa waran – pada bila-bila masa.

Menurut beliau, seorang penghuni mengadu pegawai daripada pihak berkuasa pembangunan semula bandar (Urban Redevelopment Authority) diiringi polis memasuki kediamannya pada waktu malam untuk memeriksa sama ada dia dengan keluarganya mematuhi peraturan yang menyekat aktiviti berkumpul.

Dewasa ini bawah langkah pengawalan Covid -19 Singapura, berkumpulan atau walaupun di rumah terhad kepada hanya dua pelawat. Tidak lebih dua individu dibenarkan melawat setiap hari. Penguatkuasa diberi kuasa memeriksa kediaman di mana, yang mereka percaya, peraturan diingkari .

Menurut akta penyakit berjangkit yang merangkumi peraturan sekatan, penguatkuasa penjarakan sosial boleh pada bila-bila masa, tanpa waran dan dengan menggunakan kuasa yang difikir wajar, masuk dan periksa mana-mana kediaman persendirian atau premis serta meminta mana-mana individu untuk memberi maklumat yang diminta. Ini termasuk memberi nama, alamat, dan bukti pengenalan diri.

Kata Surekha, hakikatnya para pengkuatkuasa memasuki premis pada bila-bila masa dan menyoal sesiapa selagi mereka syak ada peraturan Covid-19 dilanggar .

Penguatkuasa yang dimaksudkan terdiri daripada pegawai kementerian alam sekitar dan kementerian dalam negeri. Maksudnya mereka yang menjalankan “serbuan” dan pemerikasaan tidak semestinya pegawai polis yang sememangya dilatih memasuki dan memeriksa premis dan berurusan dengan orang awam dan penghuni.

Serekha seterusnya menulis soal “privacy” atau hak peribadi dan sebagainya yang saya tidak bercadang mengulas di sini.

Yang ingin saya paparkan ialah dalam konteks kita – adakah kita mahu atau perlu menubuh pasukan penguatkusa seperti itu? Yang boleh masuk dan periksa premis termasuk kediaman persendirian dan menyoal semua orang – baik penghuni, pemilik, juga sesiapa yang hadir, jika mereka syak ada persaturan Covid-19 dilanggar?

Oh ya, mereka boleh memasuki premis untuk menyaisat tanpa waran dan pada bila-bila masa. Siang mahupun malam.

Kita tidak ada pasukan seperti apa yang Singapura ada. Kalau ada, tentunya pegawai penguatkuasa sedemikian rupa menyerbu masuk ke pejabat dan mengambil tindakan ke atas hadirin yang sedang berkumpul. Untuk bermesyuarat misalnya.

Tentunya mesyuarat yang dijalankan itu sesuatu yang penting. Demi talian hayat dan masa depan. Untuk rakyat atau diri sendiri? Terpulanglah kepada kita masing-masing tafsirkan.

Tidak tahu sama ada mereka yang bermesyuarat mengamalkan penjarakan sosial atau tidak. Yang pasti mereka berkumpul beramai-ramai untuk bincang itu dan ini.

Selepas meeting di pejabat, mereka atau ada antara mereka dilaporkan pergi ke rumah si ketua untuk meneruskan diskusi. Sebelum ini pun, lebih tepat lagi beberapa minggu lalu, mereka semua beramai-ramai bergerak dari tempat yang dikatakan diserang Covid-19, untuk pergi ke rumah si ketua untuk…ya…bermesyuarat.

Terdahulu, heboh dikatakan mereka berkumpul berbincang dan menikmati makan malam di kediaman si ketua. Bebas melakukan itu semua. Tidak ada tindakan yang diumumkan telah diambil ke atas mereka. Perlu dingat mereka orang-orang besar.

Mengapa? Adakah kerana kita tidak punyai pasukan penguatkuasa yang boleh memasuki premis dan kediaman tanpa waran? Untuk memeriksa premis dan menyoal siasat hadirin.

Mungklin jawapannya ialah “ya”. Tidak ada tindakan kerana kita tidak ada pasukan pegawai yang berbekal kuasa boleh bertindak tanpa waran? Tetapi kita ada cukup peraturan untuk membolehkan tindakan diambil. Sekurang-kurangnya soal siasat boleh dilaksanakan.

Ada gambar disiar media kereta keluar masuk. Mesyuarat diadakan berjam-jam lamanya, kata media. Soal waran tidak timbul. Kalaulah kita ada pasukan penguatkuasa ala Singapura, akan bertindak kah mereka? Boleh kah bertindak?

Akan tetapi perlu diingat sekali lagi. Yang keluar masuk, pergi ke sana dan ke sini, bermesyuarat berjam-jam lamanya mengenai itu dan ini – mereka itu semua orangzorang besar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.