PETALING JAYA: Apabila Greg Parry dan isterinya melibatkan diri dalam kempen Bendera Putih bulan lalu, mereka menyangka mereka hanya akan mengagihkan makanan kepada golongan yang terkesan dengan kemiskinan akibat wabak.
Tanpa disangka, inisiatif mereka di Kondominium Five Stones, SS2, Petaling Jaya turut akan membantu insan yang menderita sakit barah.
Pada mulanya, projek mereka tertumpu kepada membantu rumah-rumah kebajikan, golongan kurang upaya dan pelarian.
“Pada mulanya, melalui hubungan sosial dan dalam talian dalam komuniti Kondominium Five Stones, kami bentuk kumpulan kecil untuk kumpul sumbangan,” kata Parry kepada FMT.
“Kami jangka dapat kumpul beberapa ribu ringgit dan sedikit barangan makanan. Namun, sambutannya lebih besar daripada yang dijangka dan kami berjaya kumpul RM200,000.”
Kata Parry, kumpulannya kemudian mendapat tahu bahawa salah seorang penduduk di kompleks kondo berkenaan memerlukan bantuan untuk rawatan perubatan, dan komunitinya berjaya mengumpul dana berlipat kali ganda.
Liza Yap sedang berjuang melawan barah payudara yang telah merebak ke otaknya.
Ibu tunggal berusia 50 tahun itu, yang pernah menjadi arkitek dengan cita-cita tinggi, kini hanya fokus untuk hidup lebih lama supaya dapat meluangkan lebih masa dengan dua anaknya.
Beliau didiagnosis menghidap barah payudara Tahap Tiga pada 2013, dan dalam tahun-tahun berikutnya, kehidupannya diisi ubat-ubatan berterusan, kemasukan ke hospital dan rawatan kemoterapi, dan ini melelahkannya dari segi fizikal dan kewangan.
Beliau pernah pulih buat satu masa yang singkat dan bersemangat untuk memulakan kehidupan baharu, namun tiba-tiba pengsan di tempat kerjanya pada 2017.
Segala-galanya merosot sejak itu.
“Kanser peringkat akhir,” katanya kepada FMT dengan suara tenang.
Walaupun mendapat rawatan progresif, termasuk pembedahan otak, kejayaan rawatan-rawatannya tidak bertahan, dengan sel-sel tumor berkembang secara agresif.
Azamnya kuat, namun badannya tidak mampu menanggung penderitaan ini, dan beliau terpaksa melepaskan kerjayanya kerana tidak lagi mampu melukis menggunakan tangan kanan.
Satu-satunya pilihan yang tinggal adalah rawatan kemoterapi, namun Yap telah menghabiskan hampir RM1 juta untuk merawat penyakitnya dan tidak lagi mempunyai simpanan atau insurans untuk menampung perbelanjaan perubatan.
Beliau bernasib baik kerana Parry dan jiran-jirannya lain yang mengetahui tentang keadaannya memutuskan untuk membantu.
Sehingga kini, komuniti Kondominium Five Stones berjaya mengumpul dana lebih RM250,000 buat Yap.
“Saya sangat berterima kasih atas sumbangan itu. Dengan bantuan mereka, saya mungkin berpeluang melihat dua anak perempuan saya meningkat dewasa,” katanya.
Mereka yang ingin membantu Yap dan menyumbang kepada inisiatif komuniti Kondominium Five Stones boleh menghantar pesanan WhatsApp ke Talian Bantuan FMT di 0193899839. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.