`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 5, 2021

SALAH FAHAM PEMBATALAN ORDINAN DARURAT

 

Siapa yang tidak suka, marahlah Tun Dr Mahathir dan DS Anwar Ibrahim yang memasukkan Klausa (1A) itu. Suka atau tidak, selagi peruntukan-peruntukan itu ada, ia mesti dipatuhi.

(Utusan) – Maka marilah kita lihat apa yang dikatakan oleh Klausa (1A) itu: “jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”

Tidak ada perkataan yang lebih jelas dari itu: apabila dinasihatkan berbuat sesuatu, buat. Apa yang saya katakan ini hanya berkenaan perkara yang Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat sahaja. Siapa yang tidak suka, marahlah Tun Dr Mahathir dan DS Anwar Ibrahim yang memasukkan Klausa (1A) itu. Tetapi, sama ada ia dimasukkan atau tidak, itulah maksudnya.

Suka atau tidak, selagi peruntukan-peruntukan itu ada, ia mesti dipatuhi. Penasihat-penasihat undang-undang peribadi Yang di-Pertuan Agong dan ahli-ahli akademik tidak sepatutnya membuat tafsiran dengan menambah apa yang mereka fikir patut ada (what they think it should be). Ia hendaklah ditafsir berdasarkan peruntukan yang ada (as it is). Jika mereka mahukan apa yang mereka mahu, pindalah Perlembagaan terlebih dahulu.

KESIMPULAN

Adalah amat mendukacitakan bahawa semasa negara sedang menghadapi pandemik Covid-19 yang amat teruk dan segala usaha sepatutnya ditumpukan untuk menangani masalah itu, kita berbalah mengenai acara menamatkan kuatkuasa ordinan-ordinan darurat. Tiada siapa sukakan deklarasi darurat. Tiada siapa membantah ordinan-ordinan darurat hendak ditamatkan kuatkuasanya. Tetapi kita berbalah bagaimana penamatan kuatkuasa ordinan-ordinan itu hendak dilakukan hingga hendak menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Kesilapan Menteri yang begitu kecil dalam penjelasannya dalam Dewan Rakyat diperbesar-besarkan sedangkan kegagalan mematuhi peruntukan Perlembagaan yang jelas tidak diberi perhatian.

Apa yang menjadi tumpuan pembangkang sekarang, disokong pula oleh UMNO kumpulan DS Zahid Hamidi dan DS Najib dan penyokong-penyokong mereka ialah bagaimana hendak menjatuhkan Kerajaan. Pemimpin-pemimpin DAP sudah nampak peluang baru untuk berkuasa semula dan mula membuat tuntutan. Pemuda MCA tidak mahu ketinggalan dan turut serta. Pakatan Harapan hendak berkuasa semula.

Jika Kerajaan tumbang kerananya, ini akan menjadi satu misalan dalam sejarah negara raja berperlembagaan di mana, sebuah kerajaan telah diguling kerana melakukan suatu perkara yang betul mengikut Perlembagaan tetapi menterinya tertinggal lima perkataan semasa memberi penjelasan di dalam Parlimen, manakala raja berperlembagaan tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan mengenai bertindak atas nasihat dan pembangkang mengambil kesempatan menumbangkan kerajaan dan berkuasa semula!

Saya sedar, saya mungkin dituduh “menghina” atau “menderhaka kepada” Yang di-Pertuan Agong lagi. Tetapi, ini adalah isu tafsiran Perlembagaan. Soal menghina dan derhaka tidak timbul. Jika tidak besetuju, kemukakanlah hujah-hujah yang lebih baik dan saya akan bersetuju dengannya.

Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.