PETALING JAYA: Menjadikan rumah kediaman sebagai sarang persundalan di ibu kota antara taktik digunakan sindiket pelacuran untuk beroperasi ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Namun, kegiatan sindiket di dua unit kondominium di Jalan Sungai Besi, di Kuala Lumpur, terbongkar dan lima wanita disyaki dijadikan pelacur berjaya diselamatkan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Basri Sagoni, berkata dua anggota bertindak sebagai ejen provokatur (AP) membuat pemerhatian dan mendapati wujud aktiviti eksploitasi seks wanita warga asing di dua unit berkenaan.
“Dalam serbuan 4.45 petang di sebuah rumah berjaya menahan seorang lelaki dan menemui tiga wanita warga asing di ruang tamu.
“Pada 5.20 petang, polis ke sebuah lagi rumah dan mengetuk pintu beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki tempatan.
“Berpandukan lelaki itu, polis menemui dua lelaki dipercayai pelanggan di ruang tamu. Pemeriksaan di dalam dua bilik berasingan menemui dua wanita warga asing,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Basri berkata, hasil kedua-dua serbuan itu polis merampas barang dipercayai digunakan dalam aktiviti eksploitasi seks seperti minyak pelincir, tuala, kondom, telefon bimbit, wang tunai dan lain-lain.
Menurutnya, polis menyelamatkan lima wanita warga asing berusia antara 19 hingga 46 tahun itu dan dua pelanggan lelaki dibawa ke IPD Brickfields untuk membantu siasatan.
“Siasatan awal, kesemua mangsa tinggal di lokasi itu sejak seminggu lalu dan bekerja sebagai pelacur. Mangsa mempunyai akses keluar masuk rumah, mempunyai telefon bimbit dan mendakwa tidak pernah dikasari sepanjang tinggal di rumah itu,” katanya.
Katanya, dua suspek lelaki berusia 37 dan 41 tahun ditahan reman selama dua hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.