PUTRAJAYA: Penjawat awam berpeluang membuat pembayaran ansuran memperbaharui insurans kenderaan bermotor milik sendiri dan cukai jalan tanpa faedah melalui potongan gaji.
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, berkata inisiatif tersebut boleh membantu penjawat awam yang terkesan dengan musim wabak Covid-19.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) dan sebuah syarikat takaful.
“Ketika ini premium insurans kenderaan dan cukai jalan adalah cukup mahal. Jadi, penjawat awam akan diberi ruang dan peluang untuk membayar secara ansuran,” katanya pada sidang media selepas memulakan tugas secara rasmi di KSM yang turut disertai timbalannya, Awang Hashim.
Saravanan, yang kembali menerajui kementerian itu bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia antara 20 inisiatif khas berimpak besar yang akan dilaksanakan sebagai pencapaian 100 hari pertama seperti dikehendaki perdana menteri.
Beliau berkata, kemudahan itu mungkin diperluaskan kepada pesara kerajaan setelah perbincangan mengenainya dengan pihak berkepentingan diperhalusi.
Saravanan juga berkata, KSM menerusi PERKESO akan meneruskan cadangan untuk melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) iaitu perlindungan keselamatan sosial untuk kira-kira 2.99 juta suri rumah pada tahun depan.
Beliau berkata, seramai 150,000 suri rumah dari isi rumah miskin dan di bawah Paras Garis kemiskinan (PGK) akan dilindungi oleh kerajaan di bawah skim tersebut manakala penyertaan adalah secara sukarela bagi suri rumah yang lain.
SKSSR ini menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik seperti kemalangan, penyakit ataupun kematian.
Skim tersebut adalah pengiktirafan kepada peranan yang dimainkan oleh suri rumah dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara.
Dalam pada itu, bagi pencapaian 100 hari, Saravanan berkata tumpuan akan diberikan kepada lima bidang utama iaitu pembangunan kemahiran, perkhidmatan pekerjaan dan pematuhan aspek perburuhan, perhubungan perusahaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta perlindungan sosial. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.