PETALING JAYA: Seorang pengumpul besi buruk memukul isterinya selepas berang ditegur wanita itu kerana membawa pelacur pulang ke rumah mereka di Taman Sri Sentosa, Klang.
Dalam kejadian 12.30 tengah malam Sabtu lalu, suspek berusia 58 tahun turut bertindak mengacu sebilah parang ke arah isterinya berusia 60 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli, berkata berdasarkan siasatan awal mangsa dan suspek mendirikan rumah tangga sejak 27 tahun lalu.
Katanya, pada hari kejadian berlaku pertengkaran antara pasangan itu selepas mangsa menegur suspek membawa seorang pelacur ke dalam sebuah bilik di rumah mereka.
“Suspek kemudian mengaku pernah melakukan hubungan seks bersama pelacur tersebut sebelum lelaki itu naik berang memukul isterinya di bahagian muka.
“Selain itu, suspek juga bertindak mengacu sebilah parang dan membuatkan mangsa melarikan diri kerana bimbang keselamatannya,” katanya menurut laporan Kosmo.
Katanya, mangsa membuat laporan polis pada hari sama dan suspek berjaya ditahan pada 5 petang semalam apabila pulang ke rumahnya.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 21 rekod jenayah lampau termasuk meragut, rompakan bersenjata, menceroboh, mencuri dan dadah.
“Suspek kini direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan ugutan jenayah,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.