`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, September 23, 2021

Buat persediaan awal menjelang rentas negeri, kata Nancy

 

Antara kelonggaran baharu diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri.

PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyeru penggiat industri pelancongan dan kebudayaan melakukan persediaan awal berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu menjelang fasa endemik.

Menterinya Nancy Shukri dilaporkan Bernama berkata persediaan ini selaras pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam berhubung kebenaran rentas negeri dan pembukaan semula pusat pelancongan apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90% populasi dewasa.

Beliau turut menyarankan seluruh `Keluarga Malaysia’ memanfaatkan sepenuhnya kelonggaran diberikan agar segala perancangan berjalan lancar. Perkembangan ini juga dilihat melegakan para pemain industri untuk menggiatkan semula aktiviti ekonomi mereka.

“Teruskan pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan serta laksanakan aktiviti dengan penuh bertanggungjawab agar kita semua dilindungi daripada wabak pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Selaras kelonggaran yang bakal dinikmati beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menjalankan tanggungjawab dan saling bekerjasama bagi memulihkan kembali industri pelancongan dan kebudayaan negara.

Nancy berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semalam yang disifatkan sebagai indikasi positif bahawa industri pelancongan akan kembali rancak dan dipulihkan menerusi aktiviti pelancongan domestik.

Beliau berkata dengan kembalinya semula aktiviti pelancongan yang melibatkan pergerakan manusia atau mobiliti, isu pekerjaan dan pendapatan bagi mereka dalam rantaian industri ini yang telah terjejas teruk sejak setahun lalu akibat penularan pandemik Covid-19 akan dapat diatasi.

Antara kelonggaran baharu yang diumumkan adalah membenarkan pembukaan pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat oleh KKM.

Selain itu Perdana Menteri turut mengumumkan operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness) dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Okt.

Sementara itu pusat, premis, produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa 1 Okt dengan semua pengusaha/operator dan pelawat/pengunjung lengkap divaksin. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.