`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 17, 2021

Jangan jadi ‘pengutip sampah’ ulas isu tak disaring, pemimpin PAS beritahu ulama

 

Mokhtar Senik berkata, jika ulama mengulas isu yang tidak difahami sepenuhnya, ketidakadilan boleh berlaku. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS hari ini mengingatkan para ulama tidak menjadi “pengutip sampah” yang “menghukum” hanya berdasarkan maklumat di media sosial semata-mata.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mokhtar Senik mengibaratkan media sosial sebagai “tong sampah yang boleh dicampak apa sahaja berita dan maklumat di dalamnya.”

Beliau menegaskan ulama harus menapis kesahihan kandungan itu terlebih dahulu, jika mahu mengulas.

“Para ulama jangan menjadi pengutip sampah yang menghukum tanpa membuat saringan teliti (terhadap kandungan media sosial).

“Jadilah seperti pakar forensik yang tidak mudah percaya suatu yang dilihat secara zahirnya,” kata beliau di Facebooknya.

Catatan Mokhtar itu turut dimuat naik dalam portal PAS, Harakahdaily.

Mokhtar tidak menyatakan kenapa beliau memberikan peringatan itu atau mengaitkannya dengan sebarang perkembangan semasa.

Bagaimanapun, pemimpin PAS itu mengingatkan “dunia politik yang rencam ini memerlukan bimbingan ulama yang alim, teliti dan rabbani”.

“Tidak mudah untuk menghukum isu dalam dunia politik ini tanpa penelitian. Isu politik tidak boleh diulas dan dihukum hanya dengan memandangnya secara pukal,” kata beliau.

Mokhtar menasihati para ulama untuk mengelak menjawab atau mengulas sesuatu isu, selagi belum cukup memahaminya.

Beliau berkata, jika ulama mengulas isu yang tidak difahami sepenuhnya, ketidakadilan boleh berlaku.

“Kerana dengan ulasan itu, boleh jadi antum (awak) sedang menghukum orang yang tidak bersalah dan membenarkan orang yang bersalah.

“Percayalah, antum tidak dianggap jahil jika tidak mengulas isu yang antum tidak tahu, tetapi antum akan kelihatan bodoh jika mengulasnya dengan tidak mempunyai maklumat yang cukup,” kata beliau. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.