`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, September 17, 2021

Kelantan benar 40 jemaah tunai solat Jumaat, fardu mulai hari ini

 

Kebenaran dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara itu hanya dibenarkan kepada jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan jemaah terpilih sahaja.

PETALING JAYA: Pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di seluruh masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, serta surau dan musala di Kelantan akan dibenarkan berkuat kuasa mulai hari ini.

Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, kebenaran dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu bagaimanapun hanya dibenarkan kepada jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan jemaah terpilih sahaja.

“Seramai 40 jemaah dibenarkan bagi solat fardu Jumaat di seluruh masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim bermula esok (17 Sept) dan had bilangan jemaah yang sama turut dibenarkan bagi pelaksanaan solat fardu lima waktu di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musala.

Kata beliau, kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin.

“Pelaksanaan solat fardu Jumaat dan solat fardu lima waktu berkenaan turut mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai ketua agama Islam negeri,” katanya, menurut laporan Bernama, malam tadi.

Tengku Mohamad Rizam berkata, penerima vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac wajib melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua sebelum dibenarkan solat di masjid, surau dan musala.

“Manakala bagi penerima vaksin satu dos suntikan Johnson & Johnson dan CanSino, perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan, selain kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka dan digalakkan memakai dua lapis pelitup muka.

“Masa aktiviti di dalam masjid, surau, musala juga perlu disingkatkan untuk aktiviti yang wajib sahaja, iaitu satu jam sebelum solat Jumaat dan 30 minit bagi solat fardu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pengurusan masjid, surau, musala hendaklah membuat penandaan antara jemaah dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter selain membuka semua pintu, tingkap dan kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik dan selamat.

“Tiada perkumpulan dibenarkan selepas selesai aktiviti di masjid selain semua aktiviti lain seperti kuliah, tadarus dan lain-lain tidak dibenarkan,” katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini dan tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.