PETALING JAYA: Selepas sekian lama “menghilangkan diri”, usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat ditahan oleh pihak imigresen Thailand pada 8 Sept lalu ketika berlindung di sebuah kondominium mewah di Bangkok.
Menurut laporan Harian Metro yang memetik sumber berkata, ketika serbuan imigresen Thailand, Sajat ditahan di kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita.
Mengikut sumber, usaha mengesan Sajat dilakukan Jabatan Imigresen Thailand selepas mendapat maklumat polis Malaysia dan pada 4 Jun lalu, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Sajat, iaitu di sebuah kondominium mewah di tengah Bangkok.
“Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya. Hasilnya, Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” katanya.
Sajat kemudian dikatakan dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara itu.
Sumber memberitahu Sajat hanya menunjukkan salinan pasportnya kepada pegawai penyiasat melalui telefon bimbitnya ketika ditahan.
“Semakan imigresen Thailand mendapati pasport Sajat dibatalkan kerajaan Malaysia. Dia (Sajat) kemudian menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan dia seorang pelarian.
“Hasil soal siasat dilakukan pegawai imigresen Thailand, Nur Sajat memaklumkan dia sedang mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia,” katanya yang menambah Sajat memperoleh kad UNHCR dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Bangkok.
Mengikut laporan itu, Sajat didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September atas kesalahan itu, bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan USD2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.
“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya yang turut menambah Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.
Tambahnya lagi, meskipun dibebaskan dengan jaminan, Sajat diarahkan hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari.
Sumber itu turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.