PETALING JAYA: Pembukaan berperingkat pelancongan di Terengganu belum mampu memulihkan pemandu teksi selepas mengambil kira pendapatan mereka terjejas teruk apabila sekadar meraih RM30 bagi seminggu bekerja.
Pengerusi Persatuan Pemilik Teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Rostam Mokhtar, berkata pembukaan secara berperingkat pelancongan di Terengganu belum memberi “kesenangan” kepada pemandu teksi khususnya yang bergantung kepada pelancong luar negeri.
Jadi katanya, bantuan daripada kerajaan dan pihak lain sangat membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Memang kami susah untuk dapat penumpang sehingga ada antara kami hanya memperoleh RM30 untuk satu perjalanan, selepas tiga ke tujuh hari menunggu.
“Apabila dapat bantuan sebegini, kami memang bersyukur kerana ia dapat membantu menampung perbelanjaan harian,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Terdahulu, beliau antara 45 pemandu teksi yang menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM300 dan bakul makanan daripada Umno Terengganu disampaikan ketuanya, Ahmad Said.
Dalam pada itu Ahmad berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengagihkan sumbangan kepada kumpulan pemandu teksi itu yang terjejas selepas pendapatan merosot sehingga 90%.
Sebelum krisis kesihatan, pemandu teksi LTSM mampu meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
“Pendapatan mereka ini bergantung kepada pelancong dan hasil harian, jadi kita harap sumbangan pada hari ini dapat meringankan beban ditanggung mereka,” katanya.
Menurut Ahmad, pihaknya turut menyalur bantuan sama kepada pengayuh beca, pemandu teksi dan pengusaha bot penambang. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.