PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi menyalahkan kerajaan atas kesukaran siswazah mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan tahap pendidikan mereka.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, masalah itu disebabkan oleh pelaksanaan dasar kerajaan.
Bercakap kepada FMT, beliau berkata Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) 2011 hingga 2015 mensasarkan untuk mewujudkan 3.3 juta pekerjaan menjelang 2020 yang mana 68% daripadanya merangkumi pekerjaan tidak memerlukan kelulusan ijazah.
“Sasaran itu merangkumi 56.3% pekerjaan berpendapatan rendah dan 29.5% pendapatan sederhana. Jadi RMK ini berjaya mencipta pekerjaan yang bergaji rendah, nilai rendah, tidak menentu dan tidak terjamin sejak bertahun-tahun,” katanya.
Beliau mengulas gesaan Presiden Warisan Shafie Apdal terhadap kerajaan supaya menggiatkan usaha untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada siswazah supaya tidak terlalu bergantung dengan pekerjaan di bawah kelayakan pendidikan mereka.
Williams berkata, isu terbabit perlu diselesaikan oleh pasaran kerja dan bukannya kerajaan selain menjelaskan pembaharuan juga penting dari segi penyediaan pekerjaan.
“Kerajaan mesti mewujudkan persekitaran pasaran kerja yang betul untuk syarikat-syarikat membuat pelaburan dan mengambil pekerja tanpa campur tangan kerajaan dalam ekonomi pasaran sosial,” katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Shafie yang mahu kemahiran keusahawanan dibangunkan di kalangan siswazah untuk menceburi ekonomi gig, Williams berkata, ia boleh menjadi usaha yang baik sekiranya matlamatnya adalah untuk mencipta kerjaya profesional sambilan yang boleh memberi pendapatan stabil.
“Namun jika ideanya ialah untuk mencipta satu generasi terdiri daripada pekerja penghantaran dan pemandu e-panggilan, jadi ia akan dilihat sebagai pekerjaan bersifat eksploitasi, bergaji rendah dan bernilai rendah yang akan merosakkan pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito pula menggesa supaya satu pembaharuan dilakukan terhadap pendidikan tinggi yang akan meningkatkan kualiti dan pemilihan pelajar ke universiti, seterusnya melahirkan bakat untuk pekerjaan berjawatan tinggi.
Menurutnya, pembaharuan sama harus dilakukan terhadap pendidikan menengah bagi membolehkan seseorang menyertai pasaran kerja tanpa memiliki kelulusan pendidikan yang tinggi.
Katanya, ia bermakna kurikulum pendidikan menengah harus merangkumi pengajaran kemahiran-kemahiran profesional.
Ferlito berkata individu yang mempunyai tahap pendidikan tinggi sebaiknya diberi kerjaya yang profesional. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.