`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, September 28, 2021

Tak sensitif belanja ubah suai Seri Perdana lebih RM30 juta, kata pembangkang

 

Tindakan kerajaan disifatkan tidak adil ketika jabatan kerajaan terpaksa mendapatkan pendanaan awam bagi membeli peralatan, menurut Amiruddin Hamzah.

KUALA LUMPUR: Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) menyifatkan tindakan kerajaan mengubahsuai kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana membabitkan kos sebanyak RM30 juta sebagai tidak sensitif ketika rakyat bawahan terus dihimpit kos sara hidup semasa pandemik Covid-19.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan era Pakatan Harapan turut mempersoalkan rasional kerajaan Perikatan Nasional membelanjakan lebih RM1 juta untuk mengubahsuai dan membeli perabot baru bagi pejabat kegunaan empat menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2020 dan 2021.

“Sangat tidak sensitif dalam keadaan sekarang di mana rakyat bergelut untuk hidup tetapi mereka boleh belanja sebanyak RM1 juta untuk ubahsuai di JPM, tidak termasuk ubahsuai Seri Perdana sebanyak RM30 juta.

“Kononnya ubahsuai berkenaan atas alasan keselamatan, saya pun tidak tahu bila Perdana Menteri ketika itu (Muhyiddin Yassin) duduk di situ sebab setiap kali bila ada hal, semua akan pergi ke rumah beliau di Bukit Damansara,” tegasnya dalam satu sidang media di Parlimen.

Terdahulu, dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kerja-kerja ubahsuai dan naik taraf Kompleks Seri Perdana dilakukan setelah mengambil kira faktor keselamatan Perdana Menteri, selain memastikan imej negara dalam keadaan baik ketika menyambut tetamu luar negara.

“Pengubahsuaian ini meliputi skop-skop utama seperti penambahbaikan pendawaian elektrikal, mekanikal, serta sistem penghawa dingin dan pengubahsuaian struktur di Blok Kediaman Rasmi serta penggantian perabot-perabot rasmi yang telah uzur dan daif, sesuai dengan status kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang ingin tahu mengenai status projek ubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri ke-8 di Seri Perdana yang dikatakan membabitkan kos sebanyak RM30 juta.

Minggu lalu, Dewan Rakyat turut dimaklumkan mengenai kos ubahsuai dan pembelian perabot baru membabitkan peruntukan lebih RM1 juta untuk kegunaan empat menteri dan timbalan menteri JPM melibatkan dua menteri masing-masing bertanggungjawab hal ehwal undang-undang serta Sabah-Sarawak, selain timbalan mereka.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, tindakan kerajaan itu disifatkan sebagai tidak adil ketika jabatan kerajaan yang berada di lapangan kerana terpaksa mendapatkan pendanaan awam (crowdfunding) bagi membeli peralatan seperti bantuan oksigen dan katil untuk kegunaan di hospital.

“Di bawah sana, buat ‘crowdfunding’ untuk beli peralatan di hospital dan klinik, tetapi yang di atas menggunakan wang rakyat untuk kepentingan diri,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang 22 bulan pentadbiran PH di Putrajaya, pakatan itu tidak menggunakan satu sen wang kerajaan untuk mengubahsuai ruang pejabat kerajaan.

“Yang ada sudah cukup selesa untuk kita semua menteri pada ketika itu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Hannah Yeoh (PH-Segambut) mendesak kerajaan mendedahkan jumlah kos keseluruhan membabitkan ubahsuai di semua kementerian ketika pentadbiran PN. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.