PETALING JAYA: Sebuah keluarga di Perlis berdepan detik cemas apabila menemui seekor ular tedung selar dalam mangkuk tandas rumah mereka.
Menerusi video di TikTok, seorang penangkap ular dikenali, Muhammad Hafiz Alias berkongsi rakaman dia menangkap ular berbisa itu.
Hafiz, 30, yang dikenali sebagai “Raja Ular Perlis” berkata, keluarga berkenaan menghubunginya untuk meminta pertolongan menangkap ular itu.
“Video dalam TikTok saya itu bukan berlaku di rumah saya, ada penduduk di sekitar ini minta tolong saya tangkap ular tedung itu.
“Saya diberitahu mereka nampak ekor ular dalam mangkuk tandas, ular ini kalau ia panas memang kawasan sejuk seperti tandas jadi tempat sejukkan diri,” katanya kepada FMT.
Hafiz yang sudah lama terlibat dalam aktiviti menangkap ular memaklumkan, penduduk di Perlis terutama di sekitar tempat tinggalnya sering mendapatkan khidmatnya.
Katanya, kerja itu dilakukannya secara suka rela tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada sesiapa saja yang meminta pertolongan.
“Saya buat kerja ini seikhlas hati, tidak letak harga, cuma ikutlah bayaran seikhlas hati daripada orang yang minta bantuan saya,” katanya.
Pernah bekerja di Taman Ular dan Reptilia Batu Pahat, Perlis, Hafiz berkata sehingga kini ratusan ular daripada pelbagai spesies berjaya ditangkap, malah bomba juga pernah mendapatkan perkhidmatannya.
Hafiz yang kini menjadi pemandu van jenazah korban Covid-19 turut berkongsi, pernah diserang reptilia itu pada bahagian atas lutut kirinya.
Kejadian itu mengakibatkannya koma, namun ia tidak mematahkan semangat untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat.
“Saya buat kerja kerana Tuhan, memang kerja tangkap ular ini berisiko tetapi saya tawakal saja pada Tuhan sebab niat nak tolong orang,” katanya.
Menjengah ke ruangan Facebooknya, sekitar Mac lalu Hafiz juga pernah mendapat pengiktirafan daripada Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia atas sumbangannya membantu masyarakat. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.