Kumpulan pendidikan berharap kerajaan bersedia dengan menyelesaikan pelbagai isu antaranya kualiti kemudahan serta pembelajaran terlebih dahulu sebelum melaksanakan dasar mewajibkan pelajaran hingga sekolah menengah
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, berkata banyak perlu dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) jika mahu memastikan dasar itu berjaya terutama dalam menarik minat murid.
Beliau mempersoalkan sama ada KPM mempunyai sumber mencukupi untuk menyediakan kemudahan bagi mata pelajaran berkait teknologi, sains dan seni atau melaksanakan program dwibahasa (DLP) untuk murid memilihnya.
“Jika ada murid mahu DLP adakah KPM bersedia memenuhi permintaan atau paksa ikuti pembelajaran dalam bahasa Melayu? Kita bimbang kalau gagal akan bunuh minat murid belajar.
“Apa yang diperlukan adalah kualiti, kalau nak data (kehadiran) cantik boleh paksa sahaja, tapi kalau inginkan kualiti maka KPM perlu pastikan murid minat dengan pembelajaran,” katanya kepada FMT.
Khamis lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan pendidikan hingga peringkat sekolah menengah dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Februari depan.
Katanya, RUU itu telah selesai disemak Jabatan Peguam Negara.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon, pula berkata langkah itu dapat menjamin hak murid untuk belajar tanpa mengambil kira pendapatan ibu bapa.
Namun, Fouzi berharap tindakan menarik murid ke sekolah tidak akan membebankan guru yang mungkin dikerah mencari kelompok tidak lagi berminat bersekolah atau membuat laporan.
“Kena fikirkan sama ada tindakan terhadap penjaga atau kanak-kanak tersebut dipaksa ke sekolah. Ini mungkin menimbulkan masalah disiplin dan kehadiran,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.