Menjengah usia 41 tahun, Firdaus Mat Zain yang kudung tangan dan kaki masih gigih menimba ilmu dengan mengikuti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk meningkatkan taraf hidup.
Berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Firdaus yang berasal dari Perlis sebelum ini melakukan pelbagai kerja untuk mencari rezeki buat keluarga antaranya menjual kenderaan, ejen insurans dan pencuci kereta.
Semua usaha kerasnya itu demi meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri dan seorang anak lelaki.
Justeru, apabila ditawarkan mengikuti program TVET dalam kursus pengurusan pentadbiran di Galaxy Skill Academy, Sungai Buloh, anak ketujuh daripada lapan beradik itu tanpa mengambil masa panjang terus bersetuju.
“Saya nampak TVET ini boleh pergi jauh, mungkin boleh ada rezeki bekerja dalam sektor awam seperti OKU (orang kurang upaya) lain.
“Kalau diberi peluang nak ada sumber pendapatan tetap dan jaminan untuk anak dan isteri,” katanya yang menerima Diploma Kemahiran Malaysia dalam pengurusan pentadbiran (Tahap 4), antara kursus ditawarkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Bercerita lanjut kepada FMT, Firdaus berkata dia tidak melihat kekurangan fizikal sejak lahir itu sebagai penghalang dan mahu meneruskan kehidupan seperti insan biasa lain.
“Kadang-kadang kawan-kawan dan saya sendiri lupa, saya seorang OKU,” katanya yang boleh memandu kereta manual, menunggang motosikal, menulis dan memasak.
“Saya cuba buat sendiri sebolehnya kerana tidak mahu tertekan melihat kekurangan ini.”
Malah, Firdaus turut membuktikan kekurangan fizikalnya itu tidak menghalangnya bergiat aktif dalam sukan dengan mewakili Perlis serta Malaysia dalam sukan para bagi acara pecut 100m, 200m, lompat jauh dan berenang.
Pada usia 19 tahun, dia mewakili Malaysia dalam sukan Para Sukan Asean 2001 dan 2003 yang menyaksikannya menang perak (acara pecut 200m) dan gangsa (acara pecut 100m dan 200m).
“Walaupun sudah lama meninggalkan arena itu, tetapi saya masih ingat ilmu. Kalau ada tawaran jadi jurulatih, mengapa tidak? Saya minat untuk cuba,” katanya.
Merenung kembali kehidupannya, Firdaus berterima kasih kepada keluarganya yang tidak pernah melayannya sebagai OKU dan menggalakkannya bergaul dengan masyarakat sejak kecil.
“Mak ayah saya orang kampung tak belajar tinggi, cuma kalau orang (tetamu) datang rumah, mereka perkenalkan dan ajar saya bergaul dengan orang,” katanya yang turut mengimbau kesungguhan ibu bapanya, Mat Zain Bakar dan Tijah Omar yang berkeras memintanya dibenarkan bersekolah.
“Ketika itu saya tidak diterima masuk sekolah sebab tak cukup anggota fizikal, tapi mak ayah bertegas bahawa saya boleh berfikir dengan baik.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.