`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, December 16, 2024

Apa yang sepatutnya dilakukan Anwar sekarang

 


Setelah Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri ke-10 Malaysia pada Nov 2022, persaingan selama berdekad-dekad di antara dia dan Dr Mahathir Mohamad serta sekutu rapatnya, Daim Zainuddin, tercetus kembali.

Ketika Mahathir disiasat berhubung isu pengisytiharan harta dan kedua-dua anaknya, Mirzan dan Mohkzani, dia juga diberi notis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan harta.

Daim pula menghadapi pertuduhan tidak patuh terhadap arahan mengisytiharkan harta, sementara siasatan dan jejak kewangan aset melibatkan tokoh korporat itu dan keluarga masih diteruskan meskipun selepas kematiannya.

Terkini, Mahathir menjadi sasaran dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. RCI mencadangkan supaya siasatan jenayah dimulakan terhadap Mahathir dan laporan polis perlu dikemukakan.

Penyasaran dan tindakan tajam pentadbiran Anwar terhadap kedua-dua tokoh berpengaruh terbabit mencerminkan pertembungan, persaingan lampau dan cita-cita reformis yang lebih luas.

Hubungan tegang di antara Anwar dan Mahathir bermula sejak akhir 1990-an. Setelah dilihat sebagai anak didik dan pewaris kepada Mahathir, Anwar berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dan kenteri kewangan semasa krisis kewangan Asia.

Bagaimanapun, hubungan mereka terlerai pada 1998 apabila Anwar dipecat, ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan yang dianggap bermotifkan politik.

Melahirkan kapten korporat bumiputera

Kejatuhan ini memangkinkan gerakan Reformasi yang memposisikan Anwar sebagai simbol penentangan terhadap autoritarianisme dan kronisme yang dicirikan kepada kepimpinan Mahathir.

Pemenjaraan Anwar dan kemunculan semula dia dalam arena politik memperdalam lagi jurang perbezaan di antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Meskipun mereka berdamai seketika untuk menjatuhkan Najib Razak menjelang PRU 2018, kerjasama itu runtuh sekali lagi apabila Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2020 susulan Langkah Sheraton.

Kejatuhan kerajaan PH memburukkan lagi ketegangan di antara mereka kerana Anwar dijanjikan sebagai pengganti Mahathir, namun Mahathir melewat-lewatkan peralihan tersebut.

Daim sebagai menteri kewangan semasa pentadbiran Mahathir memainkan peranan penting dalam membentuk dasar liberalisasi, deregulasi dan penswastaan serta merealisasikan dasar Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera.

Mahathir dan Daim menghasilkan kapten-kapten korporat Melayu termasuklah Halim Saad, Tajudin Ramli, Wan Azmi Wan Hamzah, Rashid Hussain, Shamsuddin Abdul Kadir, Azman Hashim, Ahmad Sebi Abu Bakar, Ishak Ismail, Mirzan Mahathir, Mokhzani Mahathir, Amin Shah Omar Shah, Yahya Ahmad dan sebahagian bukan bumiputera.

Namun, krisis kewangan Asia membawa kepada kejatuhan sebilangan mereka dan kemunculan semula syarikat berkaitan pelaburan kKerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pemain utama korporat susulan penyelamatan dan pengambilalihan syarikat-syarikat bermasalah.

Pada pandangan Anwar, tempoh perkhidmatan Daim telah dibayangi oleh amalan kronisme dan pengumpulan kekayaan peribadi yang sangat besar.

Kritikan Anwar terhadap Daim sebagai "maha kaya" menggariskan naratifnya yang lebih luas terhadap amalan kronisme yang mengakar ketidaksamaan dan menghalang kemajuan demokrasi di Malaysia.

Perubahan yang tertangguh

Dengan menarik perhatian kepada pengaruh serta kekayaan Daim, Anwar memimpin suara masyarakat yang kecewa dengan persepsi ketidakadilan ekonomi yang dikaitkan dengan rangkaian elit. Pendekatan itu sejajar dengan imej reformis Anwar dan janjinya untuk memerangi rasuah dan menggalakkan ketelusan.

Penyasaran terhadap Mahathir dan Daim bukan sekadar menyelesaikan isu peribadi. Ia juga mempunyai tujuan strategik iaitu mengukuhkan kedudukan politik Anwar.

Menyasarkan tokoh-tokoh terbabit membantu Anwar mengukuhkan asas sokongannya dalam gerakan Reformasi yang dilihat semakin tergelincir susulan kompromi seperti keputusan membebaskan tanpa melepaskan (DNAA) Ahmad Zahid Hamidi.

Pentadbiran Anwar juga dilihat lambat melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikan termasuklah penggubalan undang-undang seperti Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Pendanaan Politik, Akta Parlimen Berpenggal Tetap, undang-undang mengenai dana pembangunan sama rata untuk ahli parlimen, serta had tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada 10 tahun.

Tidak terkecuali pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya, pengawalseliaan pelantikan jawatan-jawatan - seperti Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia - penting oleh parlimen.

Kompromi dan kelewatan reformasi itu mendorong Anwar untuk mengalihkan perhatian dan ketidakpuasan hati orang ramai kepada legasi pentadbiran Mahathir.

Dengan membingkaikan dirinya sebagai antitesis kepada gaya tadbir urus Mahathir, Anwar mengukuhkan kredibilitinya sebagai pemimpin reformis yang komited untuk membongkarkan budaya politik penaungan dan hubungan erat politik dan perniagaan yang mencengkam di Malaysia.

Selain itu, tindakan Anwar ini juga bertujuan untuk menutup kritikan Mahathir. Walaupun selepas berundur dari jawatan perdana menteri, beliau terus mempersoalkan kecekapan sertta keupayaan Anwar untuk menunaikan janji reformis.

Mahathir juga mengkritik kepimpinan Anwar dalam banyak isu termasuklah kebebasan bersuara berhubung isu 3R.

Kritikan itu telah menyebabkan serangan balas tajam daripada Anwar yang menggunakan peluangnya untuk menonjolkan kelemahan kepimpinan Mahathir khususnya dalam menangani rasuah dan ketaksamaan.

Tarik minat generasi muda

Menjawab kritikan Mahathir juga merupakan cara untuk menegaskan kuasanya sebagai pemimpin negara.

Penyasaran Anwar juga mencerminkan persaingan yang lebih mendalam mengenai naratif legasi politik Malaysia.

Mahathir yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama lebih dua dekad dalam dua penggal berasingan sering diraikan sebagai arkitek pemodenan pesat Malaysia.

Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya juga dikritik oleh Anwar dan penyokongnya kerana memupuk sistem penaungan dan amalan autoritarian yang memberikan cabaran-cabaran sistemik kepada negara.

Dengan mencabar Mahathir dan Daim, Anwar berusaha untuk mentakrifkan semula legasi politik Malaysia. Dia berusaha membezakan kepimpinannya dengan masa lalu melalui penekanan kepada tatakelola yang baik, kesaksamaan ekonomi dan reformasi institusi.

Naratif itu menarik minat pengundi generasi muda dan rakyat yang berfikiran reformis yang bercita-cita untuk melihat Malaysia bebas daripada bayang-bayang masa lalu.

Walaupun pendekatan konfrontasi Anwar terhadap Mahathir dan Daim mempunyai kelebihan, ia juga berisiko.

Mahathir masih dihormati dalam kalangan sesetengah segmen penduduk yang memandangnya sebagai tokoh penting dalam pembangunan Malaysia.

Kritikan dan tindakan keterlaluan terhadap Mahathir boleh mengasingkan penyokong dan mempolarisasi landskap politik lebih jauh.

Justeru, Anwar seharusnya menghentikan penyasaran terhadap pemimpin-pemimpin terdahulu yang menghampiri penghujung usia mereka dan bukan lagi ancaman politik terhadapnya.

Apa yang seharusnya dibuat oleh Anwar ialah mengiktiraf sumbangan mereka terhadap pembangunan negara, dan menonjolkan pencapaian serta prestasi kerajaan pimpinannya bagi memperkukuhkan kuasa dan membentuk semula naratif dan legasinya. - Mkini


ZAHARUL ABDULLAH ialah pensyarah sains politik di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.