`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, December 16, 2024

Tak pelik jika Tengku Zafrul 'melompat'

 


Saya tidak hairan ada ura-ura Tengku Zafrul Abdul Aziz melompat parti. Kalau baca senarai jawatan (CV) dia, memang dia kerap lompat dari jawatan ke jawatan semasa dalam dunia korporat.

Yang hairan sikit ialah mengapa Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berani ambil risiko terima ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu sedangkan untungnya tidak banyak.

Tengku Zafrul tidak ada kerusi dalam Dewan Rakyat. Dia hanyalah senator.

Boleh jadi ada perkiraan lain. Ada tekanan dan wayang kulit yang kita tidak nampak. Misalnya, Menteri Besar Selangor sekarang, Amirudin Shari, akan diberhentikan, kerusi DUN Sungai Tua dikosongkan dan Tengku Zafrul bertanding.

Amirudin kekal Ahli Parlimen Gombak dan boleh dilantik menteri. Tengku Zafrul ambil alih tempat dia sebagai menteri besar.

Anwar sudah pun sahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR.

Tengku Zafrul terkenal sebagai orang yang mahu naik cepat dan sentiasa dalam sanjungan. Boleh jadi ini adalah perwatakan Melayu elit berdarah raja.

Dalam dunia korporat, dengan nama keluarga yang hebat dan lobi yang kuat, memang mudah dia naik. Wikipedia bahasa Melayu merakamkan yang dia sudah pegang 14 jawatan sejak 1996.

Tapi dalam dunia politik, apatah lagi politik Umno, hendak naik cepat tidak mudah. Pertama, risiko kena cantas; dan kedua, Umno sendiri sedang bernyawa-nyawa ikan.

Bukan macam zaman Anwar masuk tahun Umno pada 1982. PKR pun bukanlah hebat sangat.

Jadi, cerita dan ramalan yang mengatakan Tengku Zafrul akan melompat dari Umno ke PKR tidaklah memeranjatkan.

Umno boleh cakap sajalah. Ancam itu dan ancam ini. Realitinya, setelah Anwar selamatkan Ahmad Zahid Hamidi daripada pintu penjara dan angkat dia jadi timbalan perdana menteri, apa sangatlah yang dia (Ahmad Zahid) boleh buat kalau betul PKR terima Tengku Zafrul?

Saya rasa Tengku Zafrul pun bukanlah hormat sangat kepada Ahmad Zahid atau komited kepada Umno sebab dia lebih berupa ahli politik diraja.

Para pembesar Umno bolehlah terpekik terlolong membantah. Tapi kalau PKR terima juga Tengku Zafrul, apa mereka nak buat? Nak keluar Kerajaan Malaysia Madani?

Kalau anak jantan, itulah yang mereka patut buat. Tapi ada berani? - Mkini


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.