Pada tahun 1950-an dan 1960-an, agensi perisikan Israel melancarkan sebuah projek rahsia. Ia dinamai sebagai Ulysses Project di mana ahli-ahli Mossad ini dilatih sejak awal usia 20-an, diajari pelbagai ilmu Islam dan bahasa Arab. Setelah siaga, mereka dikirim ke pelbagai negara, selalunya sebagai peniaga (supaya mudah berulang alik dan memberi alasan bermusafiran), mengurat wanita Arab, mengahwini mereka, beranak pinak dan sebaik mendapat arahan, akan bertindak menurut ketua. Selalunya ejen ini diputuskan langsung kehidupan mereka daripada keluarga asal mereka, Yahudi.
Kebolehan mereka bertutur bahasa Arab dan mendalami ilmu Islam sangat melongokan, mereka boleh disifatkan sebagai seorang ‘sheikh’, silap hari bulan jika mereka datang ke Malaysia, tidak mustahil akan ditolak menjadi imam terawih.
Dua misi besar Ulysses Project ialah melunakkan sikap orang Islam kepada Zionisme. Yang kedua, menyusup masuk dalam Fatah dan merancang pembunuhan Yasser Arafat dan Abu Jihad.
Projek ini masih berjalan, dan anak-anak ejen Israel ini ada yang berusia awal 50-an, dan kader baharu juga masih dihasilkan. Ejen di bawah Projek Ulysses memang hilang terus dari radar masyarakat, dan betul-betul melebur sebagai Arab, dan Muslim. Tetapi mereka tidak pernah melupakan niat dan objektif besar mereka.
Dalam masa yang sama, lebih awal dari projek yang saya sebutkan di atas, terdapat pula sebuah unit dalam tentera Zionis yang fungsinya adalah berpura-pura sebagai Arab dan Muslim.
Mereka ini dikenali sebagai Mista’arvim (dan dalam kalangan Orang Palestin mereka digelar Musta’arabeen), kata jamak kepada ‘musta’rib’, khusus merujuk kepada Yahudi suku Mizrahi dan Sephardi yang memang asalnya dari dunia Arab seperti Iraq, Yemen, dan tentu sahaja Syria. Oleh sebab mereka datang dari dunia Arab, tingkah laku, cara bertutur dengan dialeknya, cara berpakaian, dan budaya mereka ‘sangat Arab’ dan untuk kita Melayu berhidung kemek sukar untuk membezakan antara mancung Yahudi dengan mancung Arab.
Mereka juga menyamar sebagai seorang Arab, tetapi dalam banyak keadaan tidak memutuskan diri dari masyarakat Yahudi sedia ada. Misi Mista’arvim lebih ‘mudah’ iaitu menyusup dalam kelompok penunjuk perasaan Palestin, membekalkan maklumat perlu dan menangkap atau menculik sasaran. Ia lebih kepada untuk memastikan hayat penaklukan Zionis di wilayah diduduki. Masyarakat Palestin hanya menyedari kewujudan ejen Mista’arvim ketika Intifada Pertama (1987–1993).
Dalam banyak keadaan ejen Mista’arvim ini juga mengahwini wanita Arab, yang mana apabila operasi selesai, wanita ini akan diberitahu sejujurnya dan diberi pilihan sama ada diceraikan (tanpa boleh membawa anak-anak), atau menjadi warganegara Israel dan berpindah agama. Selalunya, demi anak-anak, isteri yang terpedaya oleh ‘suami itu maut’ ini akan memilih opsyen ‘menjadi Yahudi’.
Operasi Mista’arvim juga dilancarkan di negara-negara Arab, khususnya Syria. Perisik paling terkenal di bawah operasi ini adalah Eli Cohen, atau Kamal Amin Thabet, yang meresap dalam masyarakat Syria dan berjaya meraih pelbagai maklumat militari negara tersebut.
Cara si Kamil aka Eli ini masuk ke Syria ialah dengan menyamar sebagai ekspatriat Syria di Argentina. Pelbagai bisnes ditawarkan, dan akhirnya Kedutaan Syria di Buenos Aires pada 1961 berminat dengan Eli. Minat itu berkembang apabila dia ke Lubnan dan berkenalan dengan Majed Sheikh al-Ard dalam pelayaran ke Beirut. Sheikh al-Ard, yang tidak pun mengesyaki apa, membantunya menyewa sebuah rumah di Abu Rummaneh, Damsyik.
Si celaka Eli ini perlahan-lahan diimani dan dibawa oleh Maazi Zahreddine, sepupu salah seorang pemimpin Syria, Abdul Karim Zahreddine, ke Tanah Tinggi Golan. Di situ dia mengumpul maklumat untuk membolehkan pendudukan Israel di Golan kelak. Namun demikian, dalam tahun 1965, Ahmed Suweidani, salah seorang dari pentadbiran baharu Syria ketika itu mengesani signal radio aneh dan menangkap basah Cohen. Untuk perbuatan pembelotan ini, Eli Cohen atau si Kamil ini dihukum bunuh di Dataran al-Marjeh, Damsyik.
Punyalah Israel menyayangi dan berterima kasih akan jasa si Cohen, Mossad tidak pernah berhenti berusaha mencari pusara Cohen untuk membawa ia pulang ke Israel, dan mengebumikannya dengan cara gilang-gemilang menurut istiadat zionis. Rasanya, kubur Cohen sudah pun ditemui sekarang.
Tidak mustahil ejen Mista’arvim dan perisik khas di bawah Ulysses Project turut berlegar di Asia Tenggara, belahan dunia yang memiliki populasi Muslim terbesar. Malah ketaksuban umat sebelah sini dengan ‘Sheikh Arab’ (lihat sahaja mereka yang terpedaya dengan si konon-konon keturunan nabi dari Maghribi) memudahkan gerakan mereka.
Ejen Mista’arvim ini boleh menjadi bijak dengan mengahwini Melayu. Kita Melayu akan cepat terpesona dengan orang luar yang putih melepak boleh bertutur bahasa Melayu (kalau lebih seru siap dengan dialek Kelate atau Utagha). Mista’arvim boleh membuat pelan menjadi seorang alim, dan dihujung-hujungnya boleh menjadi mufti. Janji sunnah. Ini dimudahkan dengan situasi umat Islam sebelah Asia Tenggara yang tiada sosok pemimpin agama yang jelas, atau panduan yang molek. Asal petah maka cepatlah Melayu patah.
Hari ini, dalam masa satu malam Syria jatuh ke tangan ‘kumpulan pengganas’ yang nampaknya diraikan oleh semua NGO Muslim di negara ini sebagai ‘pejuang pembebasan Syria’. Kumpulan ini dulunya ditolak dan ada imbuhan hadiah di atas kepala mereka. Tiba-tiba, mereka menanggalkan serban dan beruniform ala-ala Guevara. Tidak ada siapa mengenal identiti mereka secara tuntas melainkan sekadar teka-teka begitu sahaja. Pengikut mereka ada dari serata dunia dan kini menjadi algojo.
Dalam masa satu malam juga bahagian tertentu Syria jatuh ke tangan tentera Zionis. Qatar serta Turki dengan gelojoh dan cepat sekali mengumumkan persemendaan dengan ‘pejuang Syria’ ini demi mengorek minyak Syria dan menyalurkan hasil galian ke negara masing-masing agar boleh dijual ke Eropah. Tetapi kenyataan ini nampaknya tidak penting. Yang diraikan ialah kerajaan Assad sudah jatuh, tak mengapalah misalnya kalau Mista’arvim yang kini memimpin.
Sebenarnya tidak susah mana memikirkan gejala ini pun. Kita boleh bertanyakan misalnya, saban hari dan minggu selama setahun lebih ini pesawat penggempur dan pejuang Israel yang setiap detik membunuh dan mengebom orang Palestin di Gaza, Lubnan dan kini Syria ini beroleh bekalan minyak dari mana? Siapakah dalangnya dalam kalangan orang Islam? Cubalah renungkan.
Benarlah kata as-syahid Yahya Sinwar, Gaza mendedahkan belang seorang Muslim sama ada dia betul mukmin atau munafik. Pemerintah baru Syria, pejuang pembebasan kesayangan NGO Muslim di Malaysia ini kelak boleh diukur berdasarkan parameter atau tongkat Sinwar. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.