`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 22, 2024

Bagi mewujudkan kerajaan stabil sila dengar pendapat BN, kata Zahid

 

Konvensyen Barisan Nasional
Pengerusi BN Zahid Hamidi sentuh tentang masalah ‘tendang bola dalam gol sendiri’ di Konvensyen BN Negeri Sembilan 2024.

SEREMBAN
Pendapat Barisan Nasional harus didengari bagi mewujudkan kerajaan yang stabil, tegas Pengerusinya Zahid Hamidi mengulas tentang kerjasama dengan kerajaan perpaduan.

Menjawab kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Zahid berkata Umno, yang merupakan tunjang BN, amat mengambil berat soal kesetiaan dalam berpolitik.

“Saya ingin menyatakan bahawa kerjasama Umno dan BN dengan kerajaan perpaduan adalah sehingga PRU16. Oleh demikian, bagi menyantuni rakyat dan mewujudkan kerajaan yang stabil, sila dengar pendapat daripada menteri yang mewakili BN.

“Jangan ada usaha untuk membawa mana-mana bagi menyeberang… kerana soal kesetiaan perkara utama dalam kepimpinan Umno,” tegasnya ketika berucap di Konvensyen BN Negeri Sembilan 2024.

Pada Sabtu, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilapor yakin kerajaan perpaduan mempunyai kelebihan untuk menang jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

Menurut Astro Awani, keyakinan tersebut bersandarkan pada penambahbaikan dalam isu tatakelola dan kebajikan penjawat awam.

Pada sidang media di Subang Jaya itu, Anwar turut berkata prestasi kerajaan dan Jemaah Menteri masih boleh diperbaiki.

Menyentuh perkara itu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata semua menteri BN telah memberikan prestasi yang terbaik.

“Saya ucapkan terima kasih kepada menteri yang mewakili Umno dan BN sebab kita ada pengalaman yang lama mentadbir kerajaan,” katanya.

Meneruskan ucapannya, Zahid mengingatkan ahli BN supaya bekerja sebagai satu pasukan jika tidak mahu kecundang pada PRU akan datang.

Katanya, permasalahan yang timbul pada PRU14 dan PRU15 adalah ramai pemimpin yang sepatutnya ada semangat sepasukan ‘tendang bola ke dalam gol sendiri’.

“Pasukan ini pasukan BN jangan tendang bola dalam gol sendiri,” katanya, tanpa menamakan mana-mana individu.

Zahid menambah ahli BN perlu akui realiti politik masa kini, yang menuntut gabungan itu untuk bekerjasama dan mengatur langkah dengan lebih strategik.

Katanya, antara langkah yang mesti diambil antara menangani sebarang pergeseran dalaman dengan bijaksana, gerakan jentera secara menyeluruh, dan memahami aspirasi generasi muda. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.