KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyalurkan bantuan khas berjumlah RM3.17 juta kepada 90 rumah ibadat bukan Islam.
Bantuan kepada wakil pengurusan 89 kuil dan satu gereja di seluruh negara itu disampaikan hari ini menerusi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan
Ramanan berkata, peruntukan itu bukan untuk memperbaik kuil atau gereja, tetapi lebih kepada program membantu rakyat dan inisiatif lain, seperti tuisyen atau bantuan kelas agama.
“(Ini) peruntukan bawah Kementerian Kewangan yang telah diluluskan perdana menteri, sekali gus menunjukkan komitmen beliau terhadap komuniti India,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Rumah-Rumah Ibadat Masyarakat India di Brickfields.
Ramanan berkata, bantuan itu juga sekali gus menafikan dakwaan bahawa perdana menteri meminggirkan masyarakat India di negara ini.
Katanya, walaupun perdana menteri tidak menyampaikan sumbangan tersebut sendiri, beliau sentiasa mengambil berat hal ehwal masyarakat India dan sering meminta pemimpin kaum itu untuk menjalankan amanah yang diberikan.
“Kerja perlu dilakukan. Rakyat harus mendapat faedah. Isu sekarang mungkin kadang kita tak lihat beliau di pentas tetapi kami semua termasuk Ahli Parlimen, Adun berbangsa India, menjalankan kerja dan amanah diberikan,” katanya.
Ramanan berkata, sepanjang dua tahun pentadbiran kerajaan Madani, hampir RM300 juta telah diperuntukkan dalam pelbagai program bagi peningkatan sosioekonomi masyarakat itu, meliputi 275 inisiatif bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Sejak kerajaan Madani ditubuhkan pada Nov 2022, MITRA berjaya menggunakan 100% peruntukannya pada 2023 dan 98.9% pada tahun ini untuk kesejahteraan dan kebajikan masyarakat India di negara ini, katanya.
“Ini sama sekali berbeza daripada tahun sebelumnya, iaitu dari 2016 hingga 2022 dengan setiap tahun banyak baki peruntukan tidak habis dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu untuk pembangunan masyarakat India,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perpaduan bawah pimpinan Anwar telah memberi peruntukan tambahan RM136 juta secara keseluruhan untuk komuniti India di negara ini menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan memperkasa kaum India.
Perdana menteri semalam menegaskan agar segala naratif berkaitan pemprofilan perkauman dalam isu pemberian bantuan dan usaha pembasmian kemiskinan tegar di negara ini dihentikan segera. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.