KUALA LUMPUR: Sebanyak 56,294 kandungan berunsur penipuan diturunkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sejak Januari hingga 1 Dis lalu bagi membanteras jenayah dalam talian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata jumlah penurunan kandungan itu meningkat berbanding 6,297 kandungan pada 2023 dan 242 kandungan pada 2022.
Malah, beliau berkata, Malaysia turut merekodkan kerugian sebanyak RM1.224 bilion dari Januari hingga Oktober tahun ini akibat penipuan dalam talian.
“Bukannya kementerian tak berusaha turunkan kandungan berunsur penipuan…tetapi, pada masa sama kita tak nampak ia pendekatan efektif.
“Sampai tahap Meta mengizinkan ‘scammer’ menyamar sebagai AGC (Jabatan Peguam Negara) dan buat hantaran Facebook bahawa AGC kini ada pasukan petugas khas membantu mangsa penipuan dapat semula kerugian mereka.
“Saya rasa hal ini keterlaluan, sudah tentu selepas bantahan kami, Meta menurunkan kandungan itu, namun ia menunjukkan prosedur saringan Meta bermasalah kerana bagaimana anda boleh membenarkan iklan mengatakan mereka AGC tanpa memeriksa latar belakang dengan teliti.”
Beliau berkata demikian selepas melancarkan kertas putih “Teens, Tech and Trust: Navigating Social Media in Malaysia” oleh Social and Economic Research Initiative (SERI) di sini.
Sebelum ini, Teo memaklumkan SKMM mengenal pasti 274 iklan menyamar AGC di Facebook dan mendakwa ia berpunca daripada penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) berleluasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Justeru, beliau berharap pindaan Rang Undang-undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian 2024 akan mendapat sokongan ahli Dewan Negara bagi mewujudkan dunia Internet selamat untuk rakyat.
Terdahulu, Teo dalam ucapannya berkata, kertas putih SERI mengkaji kerumitan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja dan memberikan saranan bernilai untuk menangani risiko sambil mengekalkan manfaatnya.
Menyedari kepentingan mereka bentuk semula pelaporan dan sistem sokongan untuk remaja, katanya, mekanisme pelaporan dipermudah dan sokongan kesihatan mental sepanjang masa dapat memastikan remaja dilindungi serta diperkasakan apabila berdepan bahaya dalam talian.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan literasi digital untuk memperluaskan usaha melangkaui sekolah ke rumah bagi memperkasakan remaja lebih memahami dan mengendalikan risiko berkaitan media sosial menerusi kaedah lebih bertanggungjawab.
“Sebagai pembuat dasar, saya mengiktiraf keperluan penting untuk kerjasama komprehensif dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
“Meningkatkan penyelarasan dalam kalangan agensi kerajaan, penyedia platform dan masyarakat umum ialah langkah praktikal dan perlu ke arah membangunkan tindak balas lebih berkesan terhadap bahaya dalam talian yang dihadapi remaja dalam kaedah holistik serta mampan.
“Saranan ini menawarkan asas kukuh untuk dasar dan inisiatif masa depan bagi memupuk keselamatan dan kesejahteraan dalam talian.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.