`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, January 7, 2025

Terimalah penjelasan pengerusi masjid

 

Mohsin Abdullah

Pengerusi Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, sudah tampil membuat penjelasan di hadapan jemaah yang mendirikan sembahyang Jumaat minggu lalu. Penjelasan turut dirakam dan videonya masih boleh ditonton di saluran YouTube. Media juga sudah menyiarkan penjelasan itu. Maka tidak perlu saya ulangi dengan terperinci kerana pasti ramai sudah tahu apa yang dijelaskan.

Penjelasan berhubung insiden berlaku di Masjid At-Taqwa menjelang waktu solat subuh 1 Jan lalu. Juga status mental lelaki yang masuk masjid dan bikin kacau. Insiden itu juga saya tidak perlu huraikan kerana sekali lagi dinyatakan ramai yang sudah tahu. Video insiden sudah ditular.

Yang ingin saya sentuh ialah nasihat Mohd Fadzil Yusof, pengerusi masjid. “Yang penting, pertama jangan ‘share’. Lebih penting jangan komen”. Tepat. Beliau merujuk video insiden dan komen orang yang menontonnya.

“Check dulu,” katanya. Jelas beliau bercakap mengenai golongan yang tengok video dan buat kesimpulan sendiri tanpa tahu hujung pangkal dan keadaan sebenar. Memang benar kata beliau. Ramai yang lempar pelbagai tuduhan. Antaranya “orang kafir nak ceroboh masjid,” kata Fadzil.

Saya sendiri ada membaca kapsyen yang mengiringi ‘the video in question’ yang tertera:

‘Mereka semakin berani mencabar Islam’ dan ‘jangan sampai kami hilang sabar’. Kita tahu siapa ‘mereka’ yang dimaksudkan sang penulis kapsyen. ‘Jangan sampai kami hilang sabar’ pada hemat saya ialah ancaman.

Benar kata pengerusi masjid: “Akibat perbuatan kita, boleh membawa pelbagai bencana. Di negara kita perkara sensitif jangan diketengahkan. Provokasi boleh merugikan kita dan tidak mencerminkan Islam sebenar.”

Mengambil kira reaksi penonton video beliau, ramai yang bersetuju dengan pendapat pengerusi masjid dan menerima baik penjelasan diberi.

Bagaimanapun, walaupun benar kata-kata pengerusi masjid, ada juga pihak yang tidak setuju dan mempertikai. Lihat saja ruangan komen penonton yang disiar bersama video berkenaan. Begitu juga komen negatif terhadap hujah Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin. Ada penonton video Maza yang tidak senang dengan hujah bernas beliau.

Mengapa ini terjadi? Bagi saya:

i. Ada kalangan orang Melayu Islam di negara ini yang termakan malah telan bulat-bulat naratif kononnya Islam terancam, Melayu dan Islam dalam bahaya di negara ini yang dicanang pihak tertentu dan;

ii. Golongan yang mencipta naratif Islam terancam menangguk di air yang keruh yakni mengambil kesempatan apa yang berlaku d Masjid At-Taqwa tempoh hari.

Tidak perlu jadi pakar politik untuk tahu naratif Islam Melayu terancam dan diancam berunsur politik dengan tujuan menumbangkan kerajaan. Sang pencetus naratif sedar betapa sayangnya orang Melayu terhadap agamanya lantas akan melakukan apa sahaja demi Islam.

Harapan mereka ialah orang Melayu yang percaya naratif mereka akan bertindak menumbangkan kerajaan terutama menerusi peti undi kerana yakin akan tuduhan kerajaan dicucuk hidungnya oleh parti bukan Islam lalu tidak boleh diharapkan mempertahankan Islam. Strategi mudah yang terang bak sinar matahari.

Lalu masyarakat Melayu khususnya perlu tahu mana benar mana yang dusta. Dalam kes di Masjid At-Taqwa penjelasan pengerusinya dan juga hujah mufti Perlis wajar diteliti dan dihayati. Penggemar menularkan video saya cadang tularkanlah video Fadzil dan Asri demi kebaikan semua. Cukup sebelum saya dituduh berkhutbah.

Namun, golongan yang sudah dipengaruhi naratif Islam dalam bahaya dan terancam akan menolak apa juga hujah yang tidak seirama naratif yang mereka percaya meskipun penjelasan wajar dan logik. Mereka mahu dengar apa yang mereka mahu dengar. Harap anggapan saya salah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.