Mahkamah Majistret di Kangar hari ini memerintahkan pendakwah Islam Zamri Vinoth direman dua hari mulai hari ini.
Tahanan reman itu bagi membantu siasatan berhubung kes menghina agama dan menggugat ketenteraman awam di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, ketika dihubungi berkata, pendakwah bebas berusia 41 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998.

"Perintah reman dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Kangar, Perlis kira-kira 9.30 pagi tadi.
“Dia akan ditahan sehingga Sabtu, 29 Mac ini," katanya ringkas.
Malaysiakini semalam melaporkan Zamri ditahan di lokap ibu pejabat polis daerah (IPD) Padang Besar, Perlis dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.
Pihak polis juga dilaporkan telah merampas sebuah telefon miliknya.
Razarudin juga memberitahu polis menerima laporan di IPD Dang Wangi daripada seorang penganggur berusia 62 tahun pada 6.30 petang sehari sebelum tahanan dibuat.
Pengadu mendakwa bahawa dia telah menemui komen di media sosial, yang didakwa dihantar oleh Zamri, mengenai rundingan penempatan semula tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Munshi Abdullah. Komen itu didakwa menghasut dan mencemarkan agama Hindu.

Isu pemindahan kuil itu mencetuskan perdebatan umum, dengan pihak berkuasa menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang kenyataan yang mengancam keharmonian agama dan ketenteraman awam.
Kontroversi itu bermula apabila berita mengenai rancangan untuk memindahkan kuil tersebut bagi memberi laluan kepada sebuah masjid. - Mkini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.