`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 




Tuesday, March 25, 2025

Alunan taranum syahdu, jadual imam tarawih pemuda Comoros padat

Free Malaysia Today
Nidhoil Mohamed Ibrahim memenuhi jemputan menjadi imam tarawih di Surau Desa Putra, Queensbay, George Town, baru-baru ini.

PETALING JAYA

Suara merdu dengan alunan taranum syahdu. Itu keistimewaan Nidhoil Mohamed Ibrahim, pemuda dari kepulauan Comoros yang semakin dikenali di Malaysia.

Ramadan tahun ini jadualnya penuh dengan jemputan menjadi imam solat tarawih di sekitar Kedah dan Pulau Pinang, selain turut diundang mengalunkan bacaan al-Quran dalam pelbagai majlis.

“Jadual saya agak penuh sepanjang Ramadan dan terpaksa tolak secara baik beberapa jemputan.

“Siangnya saya mengajar dan menjadi juri bacaan al-Quran. Alhamdulillah dapat penuhi pelbagai aktiviti bermanfaat pada bulan mulia ini,” katanya kepada FMT.

Menetap di Malaysia sejak 14 tahun lalu, Nidhoil, 35, yang kini pensyarah di Albukhary International University (AIU) Alor Setar bertutur dalam bahasa Melayu dan aktif berkongsi ilmu mengenai taranum serta pengalaman hidupnya di negara ini menerusi media sosial.

Setakat ini, Nidhoil mempunyai lebih 150,000 pengikut yang melihat video bacaan al-Qurannya di platform itu.

“Reaksi orang ramai sungguh menggalakkan dan ada minta saya mengalunkan bacaan dengan taranum tertentu pada sesi siaran langsung TikTok,” katanya.

Bercerita lanjut, Nidhoil berkata beliau sudah 24 tahun tidak pulang ke kampung halamannya di Afrika Timur untuk menyambut Aidilfitri.

Katanya, perjalanan pulang ke Comoros memakan masa lebih 24 jam dan kos tinggi menyebabkannya hanya pulang setiap empat atau lima tahun sekali.

Kali terakhir Nidhoil pulang pada Januari lalu untuk melangsungkan perkahwinan.

“Saya tinggalkan kampung sejak umur sembilan tahun untuk bersekolah di Syria, selama sembilan tahun kemudian ke Jordan sebelum menyambung pengajian di Malaysia. Sepanjang tempoh itu, saya tidak pernah beraya di kampung.

“Rezeki saya di Malaysia…syukur ditawarkan biasiswa dari Yayasan Albukhary pada 2010. Dengan peluang itu, saya berjaya menamatkan pengajian sarjana muda di AIU dan menetap di Malaysia sehingga sekarang,” katanya.

Walaupun jauh dari keluarga, Aidilfitri tetap bermakna buat Nidhoil yang sebagai ketua hal ehwal pelajar AIU bertanggungjawab menganjurkan sambutan Syawal untuk lebih 1,500 penuntut antarabangsa.

“Mereka tiada tempat untuk beraya, jadi saya anjurkan program khas agar mereka dapat merasai kemeriahan Aidilfitri,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.