`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 14, 2025

Bila PN dah terhantuk nanti

 

hishamuddin-aun

Perikatan Nasional (PN) harus sudah dapat melihat petandanya. Keengganan duduk semeja berunding dengan kerajaan hanya memungkinkan Ahli Parlimen pembangkang terus melopong tanpa peruntukan sehingga habis penggal Parlimen Ke-15 ini yang berbaki kira-kira 32 bulan lagi.

Andai tempoh 28 bulan yang telah dilalui sejak kerajaan perpaduan mengambil alih Putrajaya pasca PRU15 pada Nov 2022 dirasakan mereka sukar, pembangkang harus dapat membayangkan kepayahan yang harus ditempuhi untuk jangka masa lebih dua tahun selepas ini.

Banyak pusat khidmat di kawasan Parlimen pembangkang yang akan terus terbengkalai di samping banyak juga aktiviti setempat wakil rakyat PN yang tidak dapat dijalankan pada ketika mereka hanya mampu berteriak kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim zalim dan mengamalkan politik balas dendam.

Rengekan mereka kononnya dihimpit beban kewangan kerana tidak menerima peruntukan juga tidak menyelesaikan apa-apa. Mereka harus bertanya kepada diri sendiri sejauh mana usaha yang telah mereka lakukan, dan jawapannya ada pada mereka sendiri.

Ringkasnya, mereka yang memilih untuk menyusahkan diri sendiri walhal kerajaan sudah banyak berkompromi dengan menawarkan pelbagai langkah pemudah cara yang bukan sahaja tidak dihargai, malah dipolemikkan dengan tuduhan Anwar tidak ikhlas dan menggunakan isu peruntukan untuk menekan pembangkang.

Selasa lepas, Anwar memberi jaminan bahawa segala projek pembangunan dan kebajikan rakyat di semua kawasan akan diteruskan – memintas keperluan menyalurkannya melalui Ahli Parlimen.

“Sama ada ia (peruntukan disalur) melalui Ahli Parlimen atau tidak, projek (untuk) rakyat diteruskan termasuk program pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kawasan,” katanya selepas menghadiri Program Ihya’ Ramadan bersama warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya.

Dalam bahasa mudah, kerajaan boleh sahaja memilih untuk terus mengabaikan tuntutan pembangkang terhadap peruntukan Ahli Parlimen kerana rakyat tidak akan terkesan dengannya – mereka tetap akan mendapat nikmat pembangunan yang disalurkan secara terus.

Dari satu sudut, ia juga boleh dibaca sebagai kesabaran perdana menteri yang sering mengulangi nasihat ‘duduk bincang selesai’ sebagai semakin menipis terhadap pelbagai kerenah pembangkang – diberi memorandum persefahaman (MoU) mereka tolak bulat-bulat; diminta beri cadangan balas, mereka diamkan diri; dan dicadang tubuhkan jawatankuasa untuk berbincang, mereka kata tak perlu.

Berkali-kali juga perdana menteri mengulangi bahawa tiada syarat yang memerlukan Ahli Parlimen menyokong beliau untuk mendapatkan peruntukan itu tetapi pembangkang membangkitkan pula pelbagai alasan dan dalih.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menganggap syarat MoU berkenaan terlalu ketat dan tidak adil, seolah-olah pembangkang perlu menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan hanya untuk mendapatkan sejumlah peruntukan.

Sambil ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kata Anwar nak ‘mandulkan’ pembangkang dan nak jadikan pembangkang ‘budak suruhan’ di Parlimen, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz pula menokok peruntukan harus diberikan tanpa syarat membebankan, tidak bertentangan dengan prinsip demokrasi serta tanpa sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara.

Jawapan Anwar kepada mereka cukup ringkas dan tegas: “Mesyuaratlah dahulu, draf (MoU) boleh dipinda.” Tambahnya, ruang perbincangan antara kerajaan dan pembangkang berhubung peruntukan sentiasa terbuka.

Selepas jenuh berdrama, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan pada Khamis berkata, pucuk pimpinan PN telah memberikan persetujuan untuk mengutus surat kepada kerajaan minggu ini bagi mendapatkan perincian lanjut mengenai maksud rundingan bagi mendapatkan peruntukan.

Sekali imbas, ia kelihatan seperti pembangkang sudah berlembut sedikit daripada pendirian enggan berbincang sambil menuntut peruntukan diberikan kepada mereka tanpa syarat, tanpa MoU atau tanpa perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA).

Sebaliknya jika dihalusi, ia bermaksud mereka baru mahu bertanya apa yang dimaksudkan kerajaan mengenai rundingan – sama ada ia menyamai pendekatan ketika Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri dengan kerajaan membentangkan cadangan untuk dipersetujui atau sebaliknya oleh pembangkang.

“Semasa pentadbiran Ismail Sabri lalu, kita (PN) terus jemput mereka (pembangkang) dan buat jawatankuasa. Dalam jawatankuasa itu, kita bincang terma-terma dan syarat, akhirnya kita berjaya. Ini tiba-tiba hantar kepada kita draf, saya tak nak ulas panjang. Sepatutnya tubuh jawatankuasa dahulu, bentang apa cadangan kerajaan sama ada kita setuju atau tidak,” kata Takiyuddin.

Sedikit perubahan pendirian pada pihak pembangkang mungkin hanya helah mereka mengheret isu ini hingga akhirnya diberi peruntukan tanpa syarat.

Sebagai rujukan, Ismail Sabri ketika itu berkata, MoU tersebut yang ditandatanganinya bersama Anwar selaku presiden PKR merangkap ketua pembangkang merangkumi enam perkara – Pemerkasaan Pelan Covid-19; Transformasi Pentadbiran serta Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Dalam apa keadaan pun, kesediaan PN untuk mengutus surat kepada kerajaan – dilihat lebih menekankan perkara teknikal – tidak boleh dilihat sebagai satu kemajuan untuk pertikaian mereka dengan kerajaan berkait soal peruntukan akan menemui penyelesaian tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang dilantik berurusan bagi pihak kerajaan harus sudah masak dengan gelagat mereka untuk meyakini sedikit perubahan pendirian boleh diterima sebagai isyarat pembangkang sedia bertolak-ansur.

Ambil contoh setelah sebulat suara menolak MoU pada 15 Sept lepas, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin membuat kejutan dengan menyatakan PN sedia untuk kembali ke meja rundingan dengan syarat kerajaan hendaklah lebih dahulu menawarkan suatu perjanjian yang adil dan seimbang dan mewujudkan situasi menang-menang buat kedua-dua pihak.

Kesudahannya, ia terus tergantung tanpa penyelesaian. Atau mungkin juga mereka mahu menguji-uji kerajaan – kalau-kalau kerajaan mahu berlembut untuk meminda syarat-syarat MoU agar lebih mesra pembangkang – satu perkara yang tidak pun berkemungkinan pada waktu ini.

Ia mungkin telah disimpulkan dengan jelas oleh Wan Fayhsal pada 24 Sept lepas bahawa pembangkang tidak memerlukan sebarang MoU, sebaliknya hanya menuntut perdana menteri mengotakan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk memberi peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.

Barangkali apabila mereka sudah terhantuk dengan kerajaan menutup terus pintu rundingan barulah pembangkang akan sedar perlunya mereka bertolak-ansur ketika ia mungkin sudah terlambat. - FMT

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.