`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 14, 2025

Pasal taklimat harian PMO

 

Mohsin Abdullah

Kata Pejabat Perdana Menteri atau PMO taklimat hariannya yang dimulakan 3 Mac lalu tidak bertindih dengan tugas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meskipun beliau seperti umum tahu ialah jurucakap kerajaan Madani.

Penjelasan diberi Setiausaha Akhbar Kanan PMX Tunku Nashrul Abaidah berbunyi begini: “Peranan Fahmi selaku jurucakap kerajaan bertanggungjawab memastikan segala penjelasan isu dan persoalan berhubung dasar kerajaan serta keputusan mesyuarat Jemaah Menteri dimaklumkan kepada rakyat.”

Manakala taklimat harian PMO pula kata Nashrul, “memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja perdana menteri, penjelasan beliau mengenai isu isu semasa yang mendesak serta arahan arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun dan terkesan.” Taklimat dikendalikan Tunku Nashrul sendiri menerusi Facebook secara ‘live’.

Bagi saya, penjelasan PMX boleh atau sememangnya diberi beliau sendiri pada sidang media atau ketika wartawan ‘menyerbu’ beliau di majlis dihadirinya. Anwar Ibrahim sentiasa atau sering melayan pertanyaan media di mana-mana majlis yang beliau hadir.

Jika pada hari yang tidak ada upacara membabitkan PMX (ini jarang berlaku) dan media tidak ada peluang menemuinya tetapi sesuatu isu mendesak timbul yang memerlukan penjelasan beliau, reaksinya boleh sahaja dibuat menerusi kenyataan dan hantar ke media melalui emel atau aplikasi WhatsApp dan sebagainya. Ini amalan lazim sejak dahulu lagi – siap pun yang jadi PM waktu itu.

Begitu juga boleh dilakukan untuk perkembangan harian dan gerak kerja PMX. Dan arahannya kepada kementerian dan agensi tentu pihak yang menerima arahan dengan sendiri boleh memaklumkan kepada media – jika mereka mahu.

Oleh itu, pada hemat saya taklimat harian PMO tidak perlu. Namun, itu pendapat peribadi saya. Jika PMO berpendapat ia wajar melaksanakan taklimat harian dan taklimat pula tidak bertindih dengan apa yang dilakukan jurucakap kerajaan saya hormat dan terima keputusan mereka.

Maka saya tidak setuju dengan gesaan seorang ahli PAS Nurul Islam Mohammad Yusof supaya PMX menyingkirkan Fahmi kerana konon ‘gagal menyalurkan mesej kerajaan kepada rakyat’ sehingga taklimat PMO diperlukan. Saya lihat gesaan itu bagai ‘taking a cheap shot at the government’ dan percubaan untuk jadi ‘batu api’.

Saya sendiri tidak pernah setakat ini mengikuti taklimat Tunku Nashrul di Facebook. Ini silap saya sendiri yang selalu terlupa waktu siaran. Bila teringat siaran sudah habis. Itu yang terjadi pada 12 Mac dan 5 Mac. (lain hari saya tidak cuba ikuti). Apa yang saya dapat tengok ialah notifikasi taklimat yang sudah selesai.

Apa pun saya ‘berpeluang’ baca komen penonton. Rata-rata positif. Ada seorang yang ucap tahniah sambil menyifatkannya sebagai ‘macam White House briefing’. Benar memang setiap pentadbiran AS punya taklimat dilakukan oleh jurukcapa presiden serta setiausaha akhbar White House.

Tetapi setiap ‘briefing’ diadakan di depan media dan media boleh mengajukan pertanyaan yang dijawab pengendali taklimat – sama ada jurucakap presiden atau setiausaha akhbar atau sesiapa yang mewakili pentadbiran.

Sayangnya taklimat PMO kita diadakan tanpa kehadiran media secara fizikal. Maka tidak ada peluang media bertanya atau minta penjelasan lanjut yang timbul daripada penjelasan yang diberikan Tunku Nashrul.

Mungkin media boleh bertanya di ruang komen Facebook PMO atau WhastApp Tunku Nashrul kemudian tetapi sudah hilang elemen ‘spontaneity’. Yang tanya dan yang jawab tidak spontan. Dan kadangkala pertanyaan yang tidak diutarakan secara bersemuka boleh terabai begitu sahaja.

Aspek ini saya ketengahkan kerana saya (serta ramai lagi wartawan) mengkritik Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob semasa mereka memegang jawatan perdana menteri dulu kerana mengadakan taklimat secara langsung di televisyen tanpa kehadiran media. Mungkin langkah itu boleh difahami mengambil kira perintah kawalan pergerakan waktu Covid dulu. Namun, apabila keadaan reda taklimat diadakan dengan hanya sekumpulan kecil wartawan hadir. Itu pun wartawan yang dipilih pegawai perdana menteri. Kalau amalan lalu dikritik amalan sekarang juga dikritik. Untuk berlaku adil.

Saya akhiri penulisan ini dengan sedutan hantaran Facebook wartawan veteran A Kadir Jasin tempoh hari. Kadir memetik apa yang diucapkan ahli falsafah dan guru komunikasi Kanada mendiang Marshall McLuhan 60 tahun lalu mengenai penyampaian maklumat.

Kata McLuhan ‘the medium is the message’. Maksudnya kata Kadir, perantara atau pembawa maklumat adalah penentu kepada maklumat. Kalau perantara atau pembawa maklumat diyakini maka lebih mudahlah untuk menyakinkan khalayak mengenai mesej atau maklumat yang disampaikan.

Kadir membuat kesimpulannya “terpulanglah kepada audiens menilai medium mana yang lebih berwibawa kerana kerajaan Madani sudah pun bereksperimen dengan beberapa medium seperti J-Kom, ‘townhall’ bersama perdana Menteri dan jurucakap kerajaan”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.