`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


17 Ramadhan 1446H (18 March 2025)

Tuesday, March 18, 2025

DAP tanpa Guan Eng

 

Mohsin Abdullah

Mana lebih utama jika bercakap mengenai parti politik? Pemimpin besarnya atau parti itu sendiri? Dalam konteks keputusan pemilihan CEC atau Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP tiga hari lalu, bertanya saya kepada diri sendiri apa yang harus saya beri keutamaan dalam menulis artikel ini – Lim Guan Eng atau partinya?

Guan Eng nama besar bukan sahaja dalam DAP tetapi pentas politik tanah air – membawa partinya melalui ranjau dan duri yang kemuncaknya DAP duduk dalam kerajaan persekutuan hasil kemenangan bersama Pakatan Harapan pada PRU14, 2018. Walaupun begitu realitinya tiada pemimpin yang lebih besar daripada partinya. Lantas penulisan ini saya mulakan dengan bercakap mengenai DAP itu sendiri.

“Jika hal hal biasa menjadi politik seperti kaum dan agama diketepikan seketika, keputusan CEC DAP boleh dilihat sebagai memenuhi aspirasi Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook yang mahu membina kepimpinan generasi ketiga”. Itu menurut pemerhati politik Wan Hamidi Hamid menerusi hantaran di Facebook. CEC ialah jawatankuasa tertinggi DAP.

Generasi pertama diwakili Lim Kit Siang dan mendiang Dr Chen Man Hin, Karpal Singh, P Patto, Fan Yew Teng. Generasi kedua pula M Kula Segaran, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun, mendiang Kerk Kim Hock, Allahyaram Fadzlan Yahya dan tentunya Guan Eng. Dan jika saya boleh menambah Gobind Singh Deo yang menariknya mendapat undi terbanyak dalam pemilihan Ahad lalu dilantik pengerusi. Sekali gus ‘masuk’ generasi ketiga?

Kata Hamidi dari segi pengundian boleh dikatakan calon-calon ‘selamat’ yakni yang dilihat tidak terlalu agresif menyokong mana-mana tim (atau ‘fraksi’ istilah yang digunakan Hamidi) boleh menerima mana-mana pemimpin daripada kumpulan berbeza dan antaranya banyak menghasilkan kandungan media sosial – mendapat sokongan majoriti perwakilan, tua muda lelaki wanita.

Menurut beliau, calon berkenaan mendapat undi daripada ‘dua kolam’ atau fraksi berbeza walaupun ada segolongan orang Cina Malaysia masih percaya bahawa sesiapa yang minum air daripada dua kolam kemudian akan ditolak – ‘terbukti kepercayaan itu tidak berlaku pada pemilihan CEC kali ini’.

Bercakap mengenai minum air dua kolam, teringat saya PAS pernah dilihat berenang dua kolam yang akhirnya mengakibatkan Muafakat Nasional yang dibentuk bersama Umno gagal. Itu cerita lain.

Berbalik cerita pemilihan CEC. Gabungan sokongan wakil daripada ‘dua kolam’ kata Hamidi membolehkan calon wanita mendapat undi banyak. Sembilan semuanya tanpa perlu mendapat sagu hati ‘lantik’ kuota wanita 30%. “Keputusan yang berani dan bersejarah buat DAP,” kata beliau.

Hamidi sendiri ialah ahli DAP dan turut mengundi. “Saya mengundi mengikut keputusan diri sendiri tanpa dipengaruhi beberapa ‘menu’ yang dihantar kepada saya. Calon mana yang menang atau kalah itu masalah mereka. Yang penting saya puas hati kerana telah mengundi mengikut rasa hati walaupun ada pepatah Melayu mengatakan ikut rasa binasa ikut hati mati. Begitulah adanya”. Pendapat yang pada hemat saya amat menarik.

Apa pun keputusan pemilihan mencerminkan berakhirnya kepimpinan Guan Eng. Walaupun menurut Hamidi beliau telah berkempen tanpa henti ‘para wakil telah memberi isyarat yang jelas’.

Sesungguhnya sebelum pemilihan sudah ada ‘gerakan’ kalangan tertentu dalam DAP untuk mencantas Guan Eng. Imbau kembali pada 2012 ada pemimpin Umno Pulau Pinang memberi gelaran ‘tokong’ kepada Guan Eng kerana sikapnya yang si pemimpin Umno kata ‘angkuh’. Bukan aneh Guan Eng tidak senang dengan gelaran itu. Namun, kemudian ada penjelasan gelaran ‘tokong’ ialah satu penghormatan seakan meletakkan beliau sebagai ‘dewa’.

Menjelang pemilihan CEC kali ini media berbahasa Cina menyifatkan gerakan menolak Guan Eng bagai ‘menghantar dewa pulang ke syurga’. Upacara ‘hantar dewa’ merupakan ritual sebelum Tahun Baharu Cina.

Berdasarkan keputusan pemilihan, ‘hantar dewa pulang’ tidak berjaya sepenuhnya. Guan Eng masih ‘berjaya’ mengekalkan kedudukan dalam CEC (ertinya masih ada perwakilan yang mengundinya) tetapi bak kata Hamidi ‘kedudukannya di tangga 26 daripada 30 kerusi merupakan kekecewaan’.

Maka DAP akan ‘hidup’ tanpa Guan Eng. Sebenarnya ini sudah pun dilakukan sedikit-sebanyak bermula sejak beliau melepaskan jawatan setiausaha agung parti 2022 berdasarkan Perlembagaan DAP yang memperuntukkan seseorang ahli hanya boleh memegang jawatan setiausaha agung selama tiga penggal.

Dan seperti umum tahun dalam DAP setiausaha agung ialah pemimpin nombor satu – ‘the one who runs the party’. Sebaik melepaskan jawatan setiausaha agung, Guan Eng dilantik pengerusi yang ada juga pengaruh. Kini, hasil keputusan pemilihan CEC beliau dilantik penasihat sebagai penghargaan DAP terhadap sumbangan dan pengorbanannya kepada parti yang tidak dinafikan semenangnya banyak.

Hakikatnya, tidak ada pemimpin walau bagaimana hebat akan kekal sebagai nombor satu selamanya. Tiba masa mereka akan digantikan. Hamidi berharap Guan Eng dapat memupuk bakat barisan ‘Gen 3’ disamping memberi sokongan penuh kepada kepimpinan setiausaha agung Loke.

‘The thing about’ penasihat ialah boleh beri nasihat tetapi sama ada nasihat yang diberi akan dituruti soal lain. Apa pun bagi saya ‘its hard to imagine Guan Eng fading into the sunset’.

Jadi, ke mana Loke akan membawa DAP dengan barisan pemimpin generasi ketiganya? Yang pasti DAP kata Loke tidak akan tikam rakan dan akan terus sokong Anwar Ibrahim selaku perdana menteri dan mengukuhkan kerajaan Madani.

Antara cabaran utama DAP menurut saintis politik Wong Chin Huat ialah ‘how not to be MCA 2’. Rasanya umum tahu apa maksud jadi macam MCA. Kata Guan Eng dalam ucapan terakhirnya sebagai pengerusi parti tempoh hari DAP bukan parti ‘yes man’.

Bagi saya apa langkah DAP ambil mestilah untuk memastikan kepentingan penyokong setia tidak diabai pada masa sama menangani persepsi negatif orang Melayu terhadapnya. Tidak perlu hurai lanjut apa persepsi itu dan mengapa terbentuk.

Dua pemimpin Melayu dipilih duduk dalam CEC. Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman masing masing meraih 2,065 dan 1,943 undi. Mereka menang ‘on merit’ bukan duduk dalam CEC atas ihsan. Sidang CEC kemudian melantik Syahredzan sebagai salah seorang naib pengerusi kebangsaan. Syefura pula memegang jawatan penolong setiausaha publisiti.

Tiga tahun lalu hanya Syefura berjaya menduduki ‘top 30’ dalam pemilihan CEC. Kali ini dua daripada enam calon Melayu dipilih perwakilan yang majoriti bukan Melayu untuk menyertai kepimpinan tertinggi DAP. Untuk parti yang dituduh anti-Melayu ‘that is a big deal’. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.