`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 21, 2025

Dapatkan pemain bola Kedah beraya?

 

hishamuddin-aun

Kapten kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC Akmal Zahir berniaga ikan bakar dan ayam bakar sambil rakan sepasukan Fayyadh Zulkifli bermodalkan nasi tomato, bihun soto dan kek bagi menampung hidup ketika seluruh pasukan tidak menerima gaji selama 11 bulan sejak Liga Malaysia musim 2024-2025 ini bermula.

Dengan sambutan Aidilfitri semakin hampir, kedua-duanya memilih untuk berniaga di bazar Ramadan di Pendang, Kedah kerana belum ada tanda-tanda tunggakan gaji mereka akan dilunaskan dalam masa terdekat.

“Saya hari-hari dok sembang dengan Yad (Fayyadh) waktu ulang-alik ke tempat latihan. Bulan puasa ni latihan waktu malam saja, siang ada kelapangan. Saya cadang kita buatlah apa-apa pada petang, berniaga ka, sekurang-kurangnya ada pendapatan sedikit.

“Yad pun setuju, jadi kami pun teruskanlah. Saya dengan ikan bakar, Yad dengan nasi tomato dan kek. Takat tu la yang kami mampu buat,” cerita Akmal dalam video yang tular di media sosial.

Bukan setakat mereka berdua, malah ada rakan sepasukan yang membuat kerja sampingan sebagai mekanik kereta dan bermacam-macam pekerjaan lain untuk menampung keperluan harian.

Reaksi di TikTok mungkin sama banyaknya antara simpati dan marah. Simpati kerana pemain-pemain bola sepak Kedah tidak dilayani sebagai profesional. Marah pula kerana pihak-pihak yang dirasakan peminat patut membantu sebaliknya mengabaikan tanggungjawab mereka.

Di sebalik sebilangan pemain yang sudah memulaukan latihan dan perlawanan, pemain seperti Akmal dan Fayyadh terus setia memerah keringat untuk pasukan yang kini merudum ke tangga ke-11 liga – ketiga tercorot –dengan berbaki empat perlawanan lagi sebelum musim pertandingan berakhir hujung bulan depan.

“Sedih bila dengar pemain bola sepak kedah tak dapat gaji 10 ke 11 bulan dekat nak setahun (sedangkan) gaji tu hak mereka, tolak tepilah warna baju politik. Sekarang ni cuba kita bayangkan pemain bola sepak ni dia ada anak bini, dekat-dekat raya ni persiapan raya mereka macam mana.

“10 ke 11 bulan ni satu tempoh yang sangat lama dinafikan hak mereka. Ada yang terpaksa masuk ke bazar Ramadan jual nasi dan kuih kerana nak tanggung keluarga. Ini pemain bola sepak yang dulunya gaji mahal, ada jasanya kepada negeri tapi hari ini hak mereka dinafikan,” kata Wan Hadi Hakimi Wan Mohd Nawi.

Ketua Pemuda PKR Pasir Mas itu mengajak warga maya fikirkan apa cara yang boleh sama-sama dibuat untuk membantu mereka menyambut Aidilfitri seperti orang lain termasuk melakukan derma kilat agar kutipan dapat disalurkan terus.

“Bantulah carilah ikhtiar macam mana pun bantulah pemain-pemain bola ni. Aku mohon sangat-sangat kepada rakyat negeri Kedah dan penyokong tegar bola sepak Kedah cari jalan buat sumbangan, buat kutipan derma bantulah mereka.

“Syarikat-syarikat korporat, persatuan, NGO (badan bukan kerajaan) meh la kita pakat-pakat bantu sedikit-sebanyak ringankan beban mereka,” tambahnya.

Peminat tegar pasukan Kedah yang menggunakan akaun Solihin Pak Ang memilih untuk menghamburkan kekecewaannya kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Sanusi Nor yang juga menteri besar Kedah yang didakwanya bersikap lepas tangan terhadap masalah tunggakan gaji KDA FC.

“Depa (pemain-pemain) ada keluarga, ada anak bini, kereta dah kena tarik, rumah kena lelong, balik duduk dengan mentua pun ada. Ada pemain bola terpaksa jadi mekanik kereta, itu bukan kerja depa. Bila tak ada gaji semangat depa pun jatuh. La ni bila pasukan dah jatuh ke bawah, tak kan nak biarkan saja depa.

“Sekarang depa ada masalah kewangan duit tak cukup, pemerintah negeri mengabaikan mereka, macam mana?Alasan hang ini bukan tanggungjawab kerajaan Kedah sebab kita dah swastakan, hang tak ada hati perut ka?Kalau depa menang, hang la yang terpaling tagih kejayaan depa.

“Apabila zaman hang menswastakan bola sepak Kedah, apa salah hang hulurkan sedikit sumbangan dana untuk nak bantu pemain-pemain tu. Tak boleh ka ambik dana yang hang bangga billion-bilion sangat tu ambik sikit pergi bantu depa. Kalau pemain-pemain tu juara, hang bukan main ke depan lagi,” tambahnya.

Dua bekas pemain Kedah, Radhi Mat Din dan Baddrol Bakhtar – masing-masing kini pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri dan Adun Gurun – turut dipersoal peranan dan keprihatinan mereka di sebalik harus lebih mengerti keperitan pemain yang tidak dibayar gaji.

Mujur ada yang prihatin. Tiga NGO — Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (RADA), Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA) dan Persatuan Anak Darulaman Malaysia (ADAM) – bergabung melancarkan Tabung Aidilfitri Pemain Bolasepak Kedah pada Khamis.

Setakat ini kutipan sudah melebihi RM40,000 di samping ada komitmen daripada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil masing-masing sebanyak RM20,000 dan RM10,000.

“Kami NGO Anak-Anak Kedah melihat isu ini sangat serius kerana membabitkan periuk nasi dan kebajikan pemain. Sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, kami mengambil inisiatif melancarkan tabung sumbangan Aidilfitri untuk meringankan beban pemain,” kata Pengerusi RADA Romli Ishak.

“Cuba bayangkan setahun tak ada gaji, nak sambut hari raya ada keluarga ada anak ada isteri. Cuba bayang bagaimana keadaan depa.

“Kita harap orang ramai, rakyat Kedah, pihak korporat di dalam dan luar Kedah dan siapa juga yang berasa beban pemain-pemain ini dapat sama-sama memberi terus sumbangan kepada pemain-pemain kita. Sekurang-kurangnya mereka dapat sambut raya dalam keadaan macam orang lain,” kata jurucakap NGO Dr Ismail Salleh.

Pada pertengahan bulan ini, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan Sri Pahang FC berkemungkinan besar dibubarkan musim depan selepas beberapa masalah membelenggu kelab itu selain KDA FC mungkin tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super, sebaliknya turun ke Liga A1 Semi-pro.

Namun, perkara itu dinafikan pemilik saham majoriti KDA FC Mohd Daud Bakar yang menyatakan bahawa mereka masih mencari cara untuk kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

Kemungkinan itu mungkin masih ada masa bagi direalisasikan tetapi untuk waktu terdekat ini, pemain-pemain KDA FC dan keluarga tidak harus dinafikan hak mereka untuk bergembira menyambut raya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.