
Qassim Waleed ialah seorang doktor rakyat Palestin berpangkalan di Gaza. Beliau juga seorang penulis. Dua hari lalu rencana yang ditulis Qassem disiar Al Jazeera, bertajuk “To survive in Gaza you have to lie to yourself”. Untuk bertahan dan terus hidup di Gaza, Qassim terpaksa membohongi diri sendiri.
“The more I lied to myself the more I sustained my fragile existence,” kata beliau. Menurut Qassim, pembohongan pertama beliau ialah selepas pencerobohan Israel ke atas Gaza pada 2008-2009 apabila beliau beritahu diri sendiri dia tidak akan lihat lagi perang seperti itu.
Itu katanya bohong kecil yang naif. “Saya lihat lagi perang pada 2012, lihat lagi pada 2014, dan lagi pada 2021 dan sekali lagi pada Mei 2023.”
Pada petang 7 Oktober 2023 “saya peluk ibu saya yang sedang menangis apabila jet pejuang Israel mengebom seluruh Gaza dan beritahu ibu dan diri saya perkara yang benar — kami akan mati.”
Tetapi resmi manusia mahu hidup lalu berkata Qassim, “saya membohongi diri sekali lagi. Apabila Hospital Baptist dibom pada 17 Oktober membunuh ratusan orang saya berbohong. Saya beritahu diri saya dunia akan bangkit untuk Gaza dan matahari tidak akan lagi menyinari jet pejuang Israel mengebom Gaza.”
Sebaliknya apa yang berlaku pengeboman bertambah sengit ke tahap berlakunya genocide. Banyak lagi pembohongan yang beliau lafazkan pada diri sendiri. Bohong paling besar katanya apabila gencatan senjata dikuatkuasakan.
“Genocide ketenteraan sudah tamat. Apa lagi Israel boleh lakukan kepada kami yang tidak pernah mereka lakukan?” kata Qassem. Rupanya banyak lagi yang Israel boleh lakukan malah sedang lakukan.
Beberapa hari lalu tentera Israel mengganas semula di Gaza. Ratusan terutama kanak kanak terbunuh. Kata Benjamin Netanyahu, “ini hanya permulaan”. Adakah sesiapa yang terperanjat dengan tindakan Israel ini? Tidak.
Umum tahu Israel tidak pernah berminat berdamai walaupun semasa bersetuju dengan pelan gencatan senjata yang diusahakan Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat. Fasa pertama gencatan senjata bermula pada 19 Januari lalu dan berjalan selama 42 hari.
Israel tidak tunjuk kesediaan untuk menyertai fasa kedua. Dua minggu lalu Israel menghalang bekalan makanan, perubatan, dan semua jenis bantuan ke Gaza. Bekalan elektrik dan air sememangnya sedia terjejas. Menurut pemerhati Israel mahu lihat rakyat Gaza kebuluran.
Serangan tentera melalui udara dan darat sedang berlangsung. Serangan dilakukan ke atas penempatan rakyat Palestin dan sering pada lewat malam dan awal pagi semasa penghuni tidur. Jelaslah tujuan serangan seperti itu.
Semalam selepas satu lagi serangan yang dilancar menjelang subuh, Netanyahu mengeluarkan ancaman akan berlaku ‘fierce war’. Kata seorang pemerhati melalui Al Jazeera, perdana menteri Israel itu sedang buat sesuka hati kerana tiada siapa yang menghalang, meskipun PBB sudah beberapa kali menegaskan Israel mencabuli hak asasi kemanusiaan. Mahkamah jenayah antarabangsa sudah keluarkan waran tangkap ke atas Netanyahu dan bekas menteri pertahanan, Yoav Gallant, bersabit kesalahan jenayah perang namun mereka tetap bebas.
Netanyahu begitu galak khususnya dengan kemunculan Donald Trump, presiden AS yang paling pro Israel dalam kalangan semua presiden sebelum ini. Tindakan ganas yang dilakukan sekarang pada saya seolah-olah mahu merealisasikan hasrat Trump yang mahu dua juta rakyat Palestin ditempatkan di kawasan lain supaya AS boleh memiliki dan membangunkan Gaza.
Pun begitu memang ada aktivis kedamaian dalam kalangan rakyat Israel melancarkan beberapa protes terhadap Netanyahu dan Perang Gaza. Terbaharu di depan kediaman perdana menteri Israel itu di Barat Baitulmaqdis. Seorang ketua demonstrasi membandingkan Netanyahu dengan Adolf Hitler, si pemimpin Nazi. Menteri keselamatan yang baru dilantik, Itamar Ben-Gvir, menuduh kumpulan aktivis berkenaan ‘penentang Israel’.
Pentadbiran Trump awal bulan ini membatalkan geran dan kontrak untuk Universiti Columbia bernilai USD400 juta. Universiti itu tempat bermulanya protes anti kekejaman Israel dan demonstrasi pelajar merebak ke beberapa universiti lain di seluruh AS lewat tahun lalu. Minggu lalu seorang graduan pro Palestin, Mahmoud Khalil, ditangkap dan AS mahu mengusirnya. Ke mana? Mahmoud ialah pemegang kad hijau lantas penduduk tetap AS. Beliau sedang cuba menghalang tindakan pengusirannya melalui mahkamah.
Perkembangan di AS dan tingkah laku Trump menaikkan nafsu Netanyahu memerangi rakyat Palestin. Keganasan Israel tidak akan dihentikan sehingga rakyat Palestin dihapuskan.
Berbalik kepada Qassem Waleed, doktor di Gaza yang penulisannya saya petik untuk permulaan artikel ini. Kata beliau: “I fear there is no limit to how far Israel can go in its genocide on Gaza.”
Kali ini Qassim tidak berbohong kepada diri sendiri. Ini kebimbangan tulen. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.