`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 13, 2025

Ihsan melawan ekstremisme

 

faisal tehrani

Hampir dua minggu lepas, di Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bertemakan ‘Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqh dan Tasawuf’, baginda Sultan Perak menyatakan sesuatu yang cukup penting untuk direnung. Titah baginda, kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang melanda dunia hari ini adalah bukti bahawa sekadar memiliki undang-undang dan perundangan, tidak membawa sebarang makna.

Kupasan ini sangat menarik apabila Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah lagi, membawa contoh yang kepincangan dan penyakit sosial seperti penipuan, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, penindasan, persengketaan, perebutan kuasa, peperangan dan pembunuhan bukan kerana tiada undang-undang yang mencukupi. Akan tetapi lantaran kerana manusia sudah kehilangan adab.

Sultan Nazrin juga melihat peri pentingnya komponen ihsan yang terdapat dalam ilmu tasawuf ikut diperkasakan agar seimbang dengan komponen iman yakni tauhid, dan hukum, iaitu fikah.

Ihsan adalah perbuatan yang baik, kemurahan hati dan kebaikan, dari segi bahasa. Dari segi Islam, kata ‘Ihsan’ (berbuat baik) merupakan kebalikan daripada kata al isaa-ah (berbuat buruk), yakni tindak tanduk seseorang untuk perbuatan ma’ruf dan menahan diri daripada dosa dan mendermakan kebaikan kepada hamba Allah yang lainnya baik melalui hartanya, kehormatannya, ilmunya, mahupun raganya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Muslim, disebutkan bahwa Nabi Muhammad bersabda:

“Sesungguhnya Allah mewajibkan al-Ihsan dalam segala masalah, oleh kerana itu jika kalian berperang harus dengan satria, dan jika menyembelih binatang pun harus dengan cara yang baik.”

Perihal raja-raja atau pembesar Melayu mengingatkan rakyatnya akan keperluan ihsan ini sebetulnya selalu berlaku dalam sejarah kita. Ihsan adalah satu makam yang kurang dikenali orang Melayu, dan perlu dimasyhurkan. Ihsan disebutkan konsepnya oleh Bendahara Tun Perak kepada anak cucunya seperti yang terdapat dalam petikan berikut;

“Hai anak cucuku, jangan kamu tukarkan ugama dengan dunia. Adapun dunia itu tiada kekal adanya kerana hidup itu sahaja akan mati juga kesudahannya. Hendaklah tuluskan hatimu pada berbuat kebaktian kepada Allah subhanahu wataala dan Rasulnya, dan jangan kamu sekalian lupa pada berbuat kebaktian kepada raja kamu. Maka kata hukuma, Adalah raja yang adil itu dengan nabi salla’llah u’alaihi wasalam umpama dua buah permata pada sebentuk cincin lagipun raja itu umpama ganti Allah di dalam dunia, kerana ia zulli ‘llahu fi ‘l-‘alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja seperti berbuat kebaktian kepada Allah subhanahu wataala. Yakni berbuat kebaktian kepada Allah dan Rasulnya supaya kebesaran dunia akhirat kamu peroleh.”

Sebenarnya ihsan ini boleh diukur, justeru kita boleh menerapkan ia sebagai polisi. Seperti mana dilakukan oleh Allahyarham Salahuddin Ayub menerusi ‘rahmah’. Ihsan seperti mana reformasi, dan integriti itu boleh diukur untuk diperlihatkan.

Kita harus juga menimbang betapa kerangka ihsan juga tidak asing dalam kepercayaan lain. Dalam Kristian misalnya, ia terdapat pada kata ‘benevolence’. Manakala dalam Confucianism terdapat kata ‘Ren’ yang juga perbincangannya tidak banyak berbeza. Ia boleh diperkenalkan serentak, seiring dan tidak memerlukan kita membahaskan dengan panjang lebar. Memadai kita beri makna kata itu menurut konteks masyarakat Cina dan India, atau Kristian dan Buddha.

Saya berpandangan yang orang Melayu telah pun menggunapakai dan menerapkan pendekatan ihsan ini sejak lama dahulu. Malah ihsan tersebut dipadan atau dipasangkan dengan terma ‘insan’, dan kemudian merebak menjadi ‘handal’.

Kata ‘insan’ adalah satu kata untuk menggambarkan gejala yang kita rujuk sebagai manusiawi, yang juga menjelaskan keadilan sosial, dan ihsan.
Dalam hal ini ‘handal’ adalah kreatif, mahir, cekap, bersemangat, bijak, peningkatan; dan berhasil mendapatkan tujuan atau objektif. Mereka yang asli handal akan pastinya juga bersikap ihsan. Oleh sebab itulah saya katakan di sini, ihsan ini sebetulnya satu wacana dan praktik yang serius.

Saya percaya ada sebab terdesak oleh pemerintah untuk memasyhurkan tasawuf dan ajaran-ajarannya seperti rahmah dan ihsan. Dengan ihsan, umat boleh menghindari hal-hal yang boleh membawa ke percekcokan. Kalau kita mengamalkan ihsan, tidak ada timbulnya ekstremisme ini atau obsesi untuk berdebat-debatkan hal agama dengan orang yang tidak layak.

Memasyhurkan ihsan untuk mereda, dan kalau boleh meredamkan sikap keras, perasaan semua tahu, serasa terpaling; semua itu tidak syak lagi disasarkan sebagai titik tekun yang begitu sentral untuk mengimbangi perkembangan ‘wahabi-salafi’ yang mengancam keharmonian umat.

Dari segi jangka panjang, jika ihsan ini diterjemahkan dalam bentuk polisi dan gerakan umat, ia pasti mengubah lanskap keagamaan yang sangat sentrik dengan hukum-hakam di Malaysia ini. Kita tidak lagi memerlukan dialog (dalam hal ini debat) antara agama misalnya untuk diputuskan siapa pemenangnya. Mujur. Langkah memugar ihsan untuk umat ini adalah sesuatu yang wajar dirai dan disokong.

Masyarakat kita sebenarnya terlalu sangsi antara satu sama lain tanpa sebab dan alasan jelas. Melalui penerapan ihsan juga, umat Islam boleh berinteraksi dengan baik mana-mana kepercayaan tanpa perlu saling mengherdik. Bayangkan kalau disandingkan dengan konsep insan dan handal. Tentu sahaja kita dapat beroleh kemakmuran. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.